Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peter Cklamovski jurulatih baru Harimau Malaya, Nafuzi kendali B-23
Diterbitkan:  Dec 16, 2024 12:49 PM
Dikemaskini: 5:43 AM

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan pelantikan Peter Cklamovski sebagai jurulatih baru skuad Harimau Malaya.

Pelantikan itu diumumkan dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook FAM hari ini.

FAM turut mengumumkan pelantikan bekas jurulatih Kedah Darul Aman FC, Nafuzi Zain sebagai ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun kebangsaan yang baru.

“FAM hari ini mengumumkan secara rasmi nama dua individu penting yang akan menerajui struktur organisasi baru skuad Harimau Malaya sebagai permulaan kepada revolusi untuk memperkasakan skuad bola sepak kebangsaan,” kata persatuan itu.

Menurut FAM, Cklamovski dan Nafuzi akan memulakan tugas secara rasmi bermula 1 Januari depan.

Berhubung pelantikan Cklamovski, FAM berkata pengganti Kim Pan-gon itu dilihat sebagai jurulatih muda berwibawa yang dapat memastikan skuad negara memberi saingan lebih hebat di pentas antarabangsa, bermula dengan kempen Kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac depan.

Cklamovski, 46, merupakan bekas pengurus FC Tokyo dan memulakan kerjaya kejurulatihan sebagai pembantu jurulatih pasukan kebangsaan Australia (2014-2017).

Dia juga pernah mengendalikan dua lagi kelab Jepun, iaitu Shimizu S. Pulse dan Monte Yamagata.

“Beliau hadir ke Malaysia untuk menyediakan satu set staf kejurulatihan yang mantap demi memastikan para pemain yang dipanggil ke kem latihan diberi tunjuk ajar yang sebaiknya, sekali gus dapat meningkatkan kemampuan dan kemahiran mereka untuk beraksi di perlawanan peringkat antarabangsa.

“Sebagai permulaan, misi utama Cklamovski adalah untuk memastikan skuad Harimau Malaya berjaya mengungguli saingan kelayakan Kumpulan F bagi mencapai sasaran layak ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi, selain memperbaiki ranking Fifa untuk menuju ke kedudukan 100 terbaik dunia,” kata FAM lagi.

Bagi Nafuzi pula, FAM berkata jurulatih berasal dari Kelantan itu dilantik bagi  memastikan kesinambungan dalam skuad B-23 kebangsaan sebagai pembekal bakat muda untuk skuad senior kebangsaan.

“Dengan kehadiran Nafuzi, pastinya tugasan penting untuk skuad B-23 kebangsaan pada 2025 adalah untuk kembali bangkit pada kempen Kejuaraan B-23 Asean 2025, Kelayakan Piala Asia B-23 2026 dan Sukan SEA 2025 di Thailand,” kata FAM.

Dalam pada itu, FAM menyuarakan komitmen untuk melaksanakan pembaharuan bagi menambah baik aspek pengurusan, penggunaan teknologi serta melantik jurulatih-jurulatih baharu yang berperanan terhadap pemain kebangsaan.

Kemudahan pengurusan dan pasukan perubatan juga akan ditambah baik dan bakal menerima nafas yang baru di bawah penstrukturan semula yang dilakukan, kata FAM lagi.

“Ini adalah sebahagian inisiatif-inisiatif serta perubahan bagi melaksanakan struktur organisasi baru untuk Harimau Malaya,” kata persatuan itu.

Selain dua jurulatih itu, FAM berkata pihaknya juga akan melantik CEO dan pasukan perubatan berpengalaman yang baru.

“Pasukan perubatan akan mula menggunakan teknologi terkini untuk membantu memastikan pemain Harimau Malaya sentiasa mendapat perkhidmatan dan rawatan perubatan yang terbaik.

“Langkah-langkah ini diharapkan dapat meningkatkan kualiti pengurusan serta memperkukuhkan kecergasan pemain, selain membantu pemulihan serta memaksimumkan potensi mereka,” kata FAM lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS