Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pembantu penyelidik lapor polis kes anggota tunjuk isyarat seks oral
Diterbitkan:  Dec 16, 2024 12:04 PM
Dikemaskini: 6:33 AM

Seorang pembantu penyelidik membuat laporan polis susulan kejadian seorang anggota polis berpakaian seragam yang dirakam menunjukkan isyarat lucah kepadanya dalam satu aksi protes baru-baru ini.

Dia yang mahu dikenali sebagai Intan Zaahirah, 25, dalam laporannya berkata, kejadian itu berlaku pada 13 Dis lalu ketika dia sedang merakam gambar protes Turun demi Palestin di Kuala Lumpur.

Katanya seorang anggota polis memandang dan membuat aksi tidak senonoh (isyarat lucah) iaitu menggambarkan perlakuan seks oral.

"Tindakan ini dilakukan secara sengaja dan berulang kali," katanya yang membuat laporan di IPD Dang Wangi, hari ini.

Terdahulu Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, pihaknya menjalankan siasatan dalaman terhadap seorang anggotanya yang didakwa menunjukkan isyarat lucah berkenaan.

Katanya, anggota itu sudah dikenal pasti dan bertugas di dalam kawasan di ibu negara.

Bagaimanapun Intan Zaahirah menggesa agar kedua-dua anggota polis berkenaan dipecat daripada jawatan mereka.

Intan Zaahirah mendakwa tindakan anggota polis itu menunjukkan niat mencabul kehormatan, memjatuhkan, dan mengaibkan maruahnya sebagai seorang wanita.

Antara aktivis yang hadir memberi sokongan kepada pengadu, sekali gus mengecam pelaku gangguan seksual itu

"Pada masa itu saya keseorangan di tangga jejantas, jadi jelas isyarat itu ditujukan kepada saya. Perbuatan ini menjijikkan dan menyinggung perasaan dan kehormatan saya.

"Anggota polis sebelahnya yang menyaksikan tindakan tersebut hanya ketawa tanpa mengambil apa-apa langkah untuk menghentikan.

"Kejadian ini berjaya saya rakam menggunakan kamera, namun saya tidak dapat merakam nama anggota di sebelahnya," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS