Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM buat keputusan betul tak ulas titah adendum Najib, kata Hassan
Diterbitkan:  Dec 16, 2024 11:42 AM
Dikemaskini: 3:42 AM

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim mempertahankan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang enggan mengesahkan mahupun menafikan kewujudan titah adendum diraja berhubung hukuman tahanan rumah untuk Najib Razak.

Hassan yang juga seorang peguam berkata tindakan Anwar selaras dengan prinsip pengasingan kuasa, dengan isu titah tersebut akan diputuskan mahkamah pada 6 Jan depan.

“Dengan status kes rayuan itu akan diputuskan Mahkamah Rayuan maka betul dan tepatlah jawapan Anwar bahawa sebagai Perdana Menteri, ketua jemaah menteri dan ketua eksekutif, dia tidak boleh mendahului institusi mahkamah.

“Demikianlah prinsip pengasingan kuasa berfungsi di Malaysia,” kata ahli Parlimen PKR itu dalam kenyataan semalam.

Pada 5 Dis lalu, anak Najib, Mohd Nizar memfailkan afidavit yang antara lain menyatakan Sultan Pahang memberitahunya tentang kewujudan titah tambahan itu untuk membolehkan bapanya menjalani baki hukuman penjara enam tahun menerusi tahanan di rumah.

Difahamkan terdapat perintah mahkamah yang menghalang orang awam daripada mengakses dokumen itu melalui carian di laman web rasmi badan kehakiman.

Pada minggu lalu, Anwar menegaskan dia tidak boleh mengulas mengenai perkara itu kerana ia kini di peringkat mahkamah.

Bagaimanapun katanya, memandangkan perkara itu terus berbangkit, dia mencadangkan agar Agong semasa, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mempertimbangkan perkara itu.

Kenyataan Anwar itu disambut dengan bantahan, antaranya oleh peguam Latheefa Koya yang berkata dia tidak sepatutnya berselindung di sebalik institusi diraja. 

Presiden MCA Wee Ka Siong pula berkata faktor sub judice tidak lagi terpakai kerana perbicaraan juri dimansuhkan daripada sistem perundangan Malaysia.

Sementara itu, Hassan berkata dia percaya Anwar faham dan sedar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memutuskan afidavit yang difailkan beberapa pihak berhubung tahanan di rumah terhadap Najib adalah bersifat “cakap dengar” atau hearsay.

“Itu keputusan Mahkamah Tinggi, bukan keputusan kerajaan pusat atau keputusan Perdana Menteri.

“Kes itu tidak selesai di situ kerana Najib telah memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan dan akan diputuskan pada 6 Januari 2025, kira-kira tiga minggu dari sekarang.

“Jadi bersabarlah kita menunggu keputusan Mahkamah Rayuan. Benarkanlah Parlimen, eksekutif dan mahkamah menjalankan kerja-kerja mereka mengikut undang-undang perlembagaan dengan bebas tanpa takut dan pilih kasih,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS