Presiden PAS Abdul Hadi Awang hari ini tampil membela bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, berhubung pertikaian terlepasnya tiga batuan di selatan negara ini kepada Singapura.
Dalam catatan mindanya, Abdul Hadi Awang memberi bayangan bahawa kerajaan "berlakon" kerana memberikan perhatian begitu besar kepada pemilikan batuan Batu Puteh dan dua yang lain berbanding terlepasnya Singapura menjadi negara sendiri.
Kata Abdul Hadi ramai orang yang tidak membaca sejarah sehingga "dibutakan" lalu gagal mengambil iktibar daripada apa yang terjadi.
"Sebaliknya, Batu Puteh terumbu karang yang kecil ditempikkan setelah berputih mata (lalu) menuding jari kepada yang tidak bersalah dan tiada kena mengena dengan yang difitnahkan kerana sebenarnya ia berlaku melalui kesalahan dan kebodohan orang lain," katanya.
Tambah Ahli Parlimen Marang itu lagi, seorang ahli akademik, Allahyarham Prof Nik Anuar Nik Mahmud, pernah memberitahunya bahawa ada surat rasmi - bertarikh 21 Sept 1953 - mengenai penyerahan Batu Puteh kepada Singapura.
Dakwa Abdul Hadi dokumen berkenaan dialamatkan kepada Setiausaha Kolonial di Singapura.
Penyerahan tersebut, dakwa Abdul Hadi, dibuat oleh "kalangan tertentu yang pendek akalnya" dan berlaku sebelum Mahathir menjadi perdana menteri.
Sedang berselindung di belakang
Bagaimanapun Abdul Hadi tidak menamakan pihak terbabit.
"Berbeza dengan penyerahan Singapura kepada British melalui perjanjian menyerah diri dan akhirnya terputus daripada Semenanjung Tanah Melayu melalui proses demokrasi yang halal mengikut undang-undang manusia selepas merdeka dalam Malaysia dan keluarnya penjajah British, akibat Melayu bersama UMNO Singapura tidak mahu berpolitik," katanya.
Dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah, dan Tubir Selatan menunjukkan ia berlaku selepas Mahathir membuat keputusan sendiri dengan mengarahkan peguam cara negara membatalkan rayuan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
Menurut RCI tersebut, Mahathir membuat keputusan berkenaan secara sendirian, bukannya merujuk kepada kabinet, ketika dia menjadi perdana menteri kali kedua pada 2018.
Tiga pemimpin kanan PH yang menganggotai kabinet kemudian memberitahu Mahathir sekadar memaklumkan keputusannya kepada mereka di bawah agenda "hal-hal lain" sewaktu mesyuarat pertama kabinet.
Matahir pula menegaskan, tiada sesiapa yang membantah atau mengemukakan pandangan ketika dia memaklumkan keputusan tersebut, justeru mempersoalkan aspek tanggungjawab bersama jika ada pihak yang menyalahkan keputusan tersebut.
Kata Abdul Hadi, tindakan menuding jari kepada Mahathir dalam isu Batu Puteh, Batuan Tengah, dan Tubir Selatan adalah seperti menutup bangkai dengan tapak tangan.
Parlimen pula, dakwanya, diperkudakan untuk memberi gambaran bahawa dia bertanggungjawab atas kehilangan hak dan kedaulatan tiga batuan berkenaan.
Sedangkan, katanya lagi, watak sebenar yang menipu sedang berselindung "di belakang pentas parlimen."
"Apa yang menarik ialah pelakon tambahannya (terdiri) daripada Melayu dalam PH (PKR , Amanah dan DAP Melayu) dan UMDAP (Umno Khadam DAP).
"Adapun DAP yang terkenal lantang bersuara, tidak perlu bersuara kerana ada khadamnya.
"Nampak tidak setianya (mereka) kepada negara dan lebih rela kepada negara asing. Tidak mengenang budi diberi kerakyatan walau sifatnya pendatang yang dibawa masuk oleh penjajah," katanya.