Ahli Majlis Tertinggi Umno Tengku Zafrul Abdul Aziz mengakui dia mengadakan perbincangan dengan PKR, tetapi berkata dia belum membuat sebarang keputusan.
Zafrul turut menafikan perbincangan itu melibatkan perbincangan mengenai jawatan.
“Saya ingin tegaskan dalam perbincangan awal ini tidak ada perbincangan jawatan di peringkat negeri mahu pun pilihan raya kecil dibincangkan.
"Walau apa pun, saya tiada pun membuat apa-apa keputusan lagi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, sekiranya dia sudah membuat keputusan, dia akan memaklumkan kepada Umno secara rasmi.
Sebelum ini spekulasi berleluasa bahawa Zafrul akan menyertai PKR, dengan satu portal mendakwa bahawa rancangan sedang dibuat untuk senator itu bertanding dalam pilihan raya kecil supaya dia boleh mengambil alih jawatan menteri besar Selangor.
Perkhidmatan Zafrul dalam kerajaan akan berakhir pada Disember tahun depan apabila dia mencapai had penggalnya sebagai senator.
Umno hari ini menyatakan bantahan untuk mana-mana anggota dalam kerajaan perpaduan lompat parti.
Mengulas perkara itu, Zafrul - yang juga Ketua Umno Bahagian Kota Raja - berkata tiada seorang pun daripada partinya menghubunginya untuk mengetahui perkara sebenar.
Zafrul berkata dia meninggalkan dunia korporat untuk menyertai kerajaan supaya dapat berkhidmat kepada rakyat dan menyumbang kepada pembangunan negara.
Dia berkata dalam berbuat demikian, fokus politiknya juga adalah untuk melakukan kerja yang baik untuk kepentingan rakyat.
"Saya percaya rakyat Malaysia sudah muak dengan politik remeh dan tidak sihat ini. Ini termasuk serangan belakang tabir tanpa asas, agenda cah keting dan sebagainya, terutama sekali kerana saya yakin apa yang rakyat mahu bukan politik ekstrem, tetapi usaha kita semua untuk membina rakyat dan negara.
"Ramai maklum isu-isu ini semua telah saya ketengahkan sebelum ini dalam konteks Umno Selangor tetapi malangnya perkara ini masih membelenggu Umno Selangor," katanya.