Umno membantah rancangan yang dikatakan melibatkan Tengku Zafrul Abdul Aziz meninggalkan parti dan menyertai PKR.
Setiausaha Agung parti Asryaf Wajdi Dusuki berkata Umno tidak akan "menerima dan membenarkan" lompat parti bagi mana-mana anggota kerajaan campuran.
"Budaya mengambil ahli atau pemimpin parti masing-masing hanya akan mencetuskan perbalahan dan pertelingkahan hingga menggugat kestabilan gabungan.
"Cukuplah pengalaman pahit lampau dalam permuafakatan politik lalu hingga meruntuhkan Kerajaan akibat perlakuan khianat dan lompat-melompat serta mencuri ahli sesama kalangan parti dalam permuafakatan,” katanya.
Ini merujuk kepada Langkah Sheraton ketika Bersatu memburu beberapa ahli parlimen PKR untuk menyertai mereka berpaling tadah daripada kerajaan pentadbiran Pakatan Harapan ketika itu.
Awal hari ini, Perdana Menteri dan Presiden PKR Anwar Ibrahim mengesahkan perbincangan awal dalam parti berhubung potensi kemasukan Zafrul.
Anwar menambah, walaupun Pakatan Harapan tidak pernah menyokong langkah sedemikian, namun ia tidak pernah disekat.
Pada akhir 2020 dan awal 2021, lima wakil Amanah berpaling tadah dan menyertai PKR.
Asyraf hari ini berkata Anwar telah menghubungi Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengenai perkara itu.
Terdahulu, Zafrul, ahli majlis tertinggi Umno, menyatakan bahawa dia akan menangani khabar angin itu tidak lama lagi, termasuk spekulasi mengenai dia akan menggantikan Naib Presiden PKR Amirudin Shari sebagai menteri besar Selangor.
Peranan menteri Zafrul dijangka berakhir pada Disember 2025 berikutan had penggal jawatan senatornya, yang menghalang pelantikan semula.
Spekulasi yang timbul ialah dia dikatakan akan menyertai PKR, dipilih sebagai Adun melalui pilihan raya kecil, dan menggantikan Amirudin. Amirudin pula dikatakan akan menjadi menteri.
Bagaimanapun, semalam, Amirudin berkata dia akan berkhidmat sebagai menteri besar sehingga 2028.