Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Bagaimana KM Sabah tahu keterangan pemberi maklumat pada SPRM?

Peguam veteran Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili seorang pemberi maklumat dalam skandal rasuah membabitkan beberapa Adun di Sabah mempersoalkan bagaimana Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor tahu mengenai kenyataan anak guamnya kepada SPRM.

Anak guam kepada Muhammad Shafee itu sebelum ini mendedahkan rakaman video penuh melibatkan beberapa Adun Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Muhammad Shafee berkata dia "terkejut dan ingin tahu" bagaimana Pengerusi GRS itu memperoleh butiran yang diklafisikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) itu.

Muhammad Shafee juga menyifatkan "pengakuan" Hajiji itu sebagai "salah guna kuasa", terutamanya dalam siasatan yang melibatkan pentadbirannya.

“Siapakah yang memaklumkan kepada ketua menteri itu bahawa anak guam saya tidak mengaku memberi rasuah apabila disoal SPRM, lebih-lebih lagi apabila maklumat ini dianggap sebagai rahsia rasmi?

“Untuk penjelasan, anak guam saya tidak menafikan mahupun mengaku apa-apa. Dia menjawab secara neutral, mengikut nasihat saya untuk mengelakkan daripada menjerat diri sendiri,” kata Shafee kepada Malaysiakini.

Muhammad Shafee berkata kenyataan Hajiji itu mengukuhkan kebimbangan anak guamnya bahawa dalam siasatan yang melibatkan ahli politik, "bahkan perbincangan dan kenyataan rahsia tidak terlepas daripada bocor kepada orang yang sepatutnya disiasat."

Shafee berkata demikian susulan ucapan Hajiji yang mendakwa bahawa dia "dimaklumkan" pemberi maklumat itu "tidak mengaku dia buat itu" ketika disoal SPRM.

Rakaman itu turut disebarkan dalam satu video TikTok.

"Bayangkan, sudah dipanggil (SPRM) tetapi tidak mengaku," kata Hajiji dalam video berkenaan.

Hajiji juga mendakwa mereka yang membuat fitnah terhadap pentadbirannya membuat perancangan dengan begitu teliti dengan niat untuk merosakkan kerajaan negeri.

@studio_rakyat Individu yang terlibat dalam penularan video berkaitan tuduhan rasuah baru-baru ini enggan mengaku. Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor menyatakan bahawa semua itu hanyalah strategi yang sudah dirancang dengan teliti untuk menjatuhkan maruah kerajaan kini. #studiorakyat #ketuamenterisabah #yabdatukseripanglimahjhajijihajinoor #grs #pgrs #fyp #malaysia #sabah #politik ♬ Hard News - DM Production

Sebagai respons, Shafee berkata: “Ketua menteri jelas memperoleh maklumat itu secara salah dan melanggar rahsia rasmi. Dia sama ada memutarbelitkan fakta untuk kepentingannya atau tidak memahami nuansa dalam kenyataan anak guam saya."

Menurutnya, dakwaan Hajiji bahawa Adun berkenaan tidak meminta rasuah juga disifatkan sebagai "berani dan melucukan".

Video ucapan Hajiji itu dipercayai dirakam pada satu majlis sambutan Krismas malam tadi, di mana ketua menteri Sabah itu mengakui sumbangan dana kepada parti-parti politik adalah perkara biasa.

"Kita tidak pernah, wakil-wakil rakyat kita tidak pernah untuk meminta suapan daripada sesiapa tetapi bohonglah kalau setiap parti politik atau pemimpin politik tidak menerima dana politik daripada penyumbang-penyumbang.

"Saya telah nyatakan kepada perdana menteri perkara ini pada minggu lepas, semua tahu dana politik adalah tidak salah di dalam negara dan juga di negara-negara lain.

“Macam mana parti politik boleh bergerak kalau tidak ada sumbangan daripada mereka yang berkemampuan. Kalau harap wakil rakyat punya gaji, macam mana kita mahu hidup. Makan pun tidak cukup" kata Hajiji.

Bagaiamanapun Shafee mengecam kenyataan tersebut dengan mengatakan ia sebagai tidak masuk akal.

“Mendakwa sumbangan politik sebagai justifikasi adalah benar-benar bodoh. Saya cadangkan mereka yang terlibat membaca semula kes Harun Idris untuk memahami perbezaan antara derma politik yang sah dan rasuah secara terang-terangan,” tambahnya.

Malaysiakini telah menghubungi pejabat ketua menteri untuk mendapatkan komen.

Pemberi maklumat itu sekali lagi menegaskan bahawa wang yang diberikan bukanlah dana politik, sebaliknya didakwa sebagai rasuah untuk mendapatkan sokongan bagi permohonannya mendapatkan lesen penerokaan cari gali di Sabah.

“Saya beritahu ahli dewan undangan negeri terbabit bahawa wang itu datang daripada pelabur dan saya telah menandatangani perjanjian dengan mereka. Video-video itu menjelaskan segalanya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS