Presiden MCA, Wee Ka Siong, bertanya kepada DAP apakah parti itu akan keluar daripada kerajaan perpaduan sebagai tanda protes sekiranya bekas perdana menteri, Najib Razak, dibenarkan menjalani baki hukuman di rumah.
Dalam satu kenyataan di Facebook, Wee berkata kerajaan perlu menjawab persoalan yang dibangkitkan ramai pihak mengenai kewujudan titah adendum yang didakwa dikeluarkan oleh Sultan Pahang semasa baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong.
"Jika DAP percaya bahawa YDPA tidak patut mempunyai keputusan muktamad dalam hal pengampunan, mereka sepatutnya mencadangkan usul di parlimen untuk meminda perlembagaan dan sama ada mengehadkan atau menghapuskan kuasa pengampunan YDPA.
"Selain itu, jika adendum diraja dikeluarkan dan Najib diberikan tahanan di rumah, DAP perlu menjelaskan: Adakah mereka akan keluar dari kerajaan sebagai tanda protes, atau adakah mereka akan menggunakan perkara ini sebagai alasan untuk mengkritik sambil kekal berkuasa?" soalnya.
Dalam kenyataan yang ditujukan kepada Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, Wee menjelaskan pendiriannya mengenai beberapa persoalan berkaitan titah berkenaan.
Katanya, titah tambahan itu tidak boleh disembunyikan oleh kerajaan, selain rakyat berhak tahu mengenai kewujudannya.
"Kerajaan mesti bersikap telus. Jawapan “ya” atau “tidak” yang ringkas sudah memadai, bukannya hampir setahun berdolak-dalih. Atau adakah ketelusan bukan lagi keutamaan kerajaan ini?
"Jika kerajaan boleh menyembunyikan titah diraja hampir setahun, apa lagi yang mereka tidak beritahu atau sembunyikan? Saya tidak tahu—anda tahu?” soalnya.
Terdahulu, Lim hari ini membalas kritikan Wee terhadap perdana menteri, Anwar Ibrahim dengan mengelarkan presiden MCA sebagai "tin Milo kosong".
Lim juga menuntut Wee berterus terang dan menjelaskan apakah MCA menyokong Najib menjalani baki hukuman di rumah.
Dalam pada itu, Wee menegaskan bahawa jika titah tambahan itu wujud, ia mesti dipatuhi kerana melengahkan pelaksanaanya adalah melanggar Perlembagaan Persekutuan.
"Sama ada anda atau saya bersetuju dengan titah Yang di-Pertuan Agong adalah tidak relevan, kerana Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa mutlak kepada Baginda dalam hal ini.
"Begitu juga, sama ada kita menyokong Najib menjalani hukuman di rumah atau apa pendapat kita terhadap beliau juga tidak relevan. Ini adalah titah diraja di bawah kuasa pengampunan YDPA yang termaktub dalam Perlembagaan, dan ia mesti dihormati.
"Jika anda percaya bahawa keputusan bekas YDPA adalah salah, maka bawalah perkara ini kepada Sultan Pahang," katanya.
Selasa lalu, Anwar dilaporkan enggan mengulas mengenai isu titah tambahan itu, dengan alasan halangan undang-undang.
Anwar juga berkata dia mencadangkan agar Agong sekarang membuat pertimbangan mengenai titah adendum itu memandangkan isu itu terus ditumbulkan.
Pada 5 Dis, anak Najib, Mohd Nizar, memfailkan afidavit yang mengesahkan bahawa Sultan Pahang memberitahunya tentang kewujudan titah tambahan itu untuk membolehkan bapanya menjalani baki hukuman penjara enam tahun sebagai tahanan di rumah.
Difahamkan terdapat perintah mahkamah yang menghalang orang awam daripada mengakses dokumen itu melalui carian dalam talian di laman web rasmi badan kehakiman.