Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kepimpinan parti sedang menguruskan isu peletakan jawatannya sebagai Bendahari Agung PN.
Ditanya media mengenai keputusannya melepaskan jawatan tersebut Ahmad Samsuri berkata tidak banyak yang boleh dikomennya buat masa ini.
Ditanya sama ada keputusan tersebut didorong oleh alasan peribadi, dia berkata: "Saya tak nak bagi komen lagi sebab pada peringkat ini kepimpinan sedang uruskan perkara ini."
Pada masa sama Ahmad Samsuri menjelaskan, orang ramai boleh membuat tafsiran mengenai keputusannya meletakkan jawatan dengan membaca petikan kata-kata legenda bola keranjang AS, Kareem Abdul-Jabbar.
"Saya rasa baca komen yang saya quote (petik) Kareem Abdul-Jabbar tu. Kalau boleh tafsir, tafsir dari situlah," katanya diiringi ketawa.
Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman ditemui media selepas suatu majlis di Marang, Terengganu hari ini.
Naib Presiden PAS itu mengumumkan peletakan jawatannya daripada PN sehari selepas parti gabungan berkenaan mengumumkan barisan kepimpinan utamanya yang menyaksikan bekas Menteri Besar Selangor, Azmin Ali, dilantik menjadi setiausaha agung.
Kira-kira dua minggu sebelumnya, PAS mengemukakan cadangan agar setiausaha agung mereka, Takiyuddin Hassan, dilantik sebagai Setiausaha Agung PN yang dikosongkan oleh Hamzah Zainudin apabila dia dipilih sebagai Timbalan Presiden Bersatu.
Pada 12 Dis lalu - ketika alasan sebenar di sebalik keputusannya itu belum terungkai - Ahmad Samsuri memuat naik hantaran di media sosial dengan memetik kata-kata Kareem: "Saya cuba melakukan perkara yang betul pada masa yang sesuai. Ia mungkin hanya perkara kecil, tetapi pada kebiasaannya akan membezakan antara menang dan kalah.
Ditanya media hari ini, Ahmad Samsuri menjelaskan tidak berlaku sebarang keretakan dalam PN sebaliknya mereka sedang mengukuhkan gabungan itu supaya menjadi muafakat politik yang lebih kuat bagi menghadapi PRU akan datang.
Pada masa sama Ahmad Samsuri berkata, dia mengambil maklum pelbagai pandangan daripada para penganalisis politik berhubung kesan peletakan jawatannya.
"Masing-masing bagi perspektif masing-masing dan saya rangkumkan semua itu bahawa semuanya adalah usaha untuk memperkuatkan dan memperkukuhkan PN supaya menjadi suatu kuasa baru untuk menghadap pilihan raya dengan lebih kuat serta mampu menjadi alternatif yang jauh lebih baik daripada kerajaan sedia ada," katanya.