Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengulangi komitmennya untuk terus bekerjasama dengan PH Sabah bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Pengerusi GRS, Hajiji Noor berkata, dia telah memaklumkan perkara itu kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang juga pengerusi PH.
Menurutnya, setakat ini kerjasama dengan PH merupakan keutamaan GRS, manakala parti lain bergantung kepada situasi semasa dan penerimaan mereka.
"Yang lain itu, kita tengok, kalau fikiran mereka bagus, tidak gila, kita akan fikirkan sebab kita ini mahukan kebaikan, saya jadi Ketua Menteri dan yang saya mahu adalah perpaduan.
"Itu sebab saya tubuhkan GRS yang disertai oleh lapan komponen parti, walaupun di dalamnya ada parti yang kecil, tidak menang dalam PRN lalu, tapi niat saya baik, untuk kita satu hati.
"Cukuplah dengan pelajaran kita pada masa yang lalu. Misi saya sekarang mahu baik dengan orang, kita kumpulkan presiden parti yang ada.
"Bukan senang mengurus ini, memang penat tapi Insya-Allah mereka juga sudah menyatakan komitmen dengan GRS," katanya dilapor Berita Harian.
Semalam, Malaysiakini melaporkan Hajiji, yang berdepan tekanan kuat untuk berundur susulan dakwaan skandal rasuah yang menyelubungi pentadbirannya, bertemu pemimpin PH Sabah untuk mendapatkan sokongan mereka.
Sumber memberitahu Malaysiakini dalam mesyuarat yang berlangsung ketika makan malam malam tadi, Hajiji menjelaskan isu berkenaan dan mengulangi pendirian tegasnya dalam melindungi sumber Sabah.
Sumber itu juga mendedahkan ketua menteri berharap PH menunggu SPRM menyiasat perkara itu secara menyeluruh sebelum memutuskan sama ada untuk meneruskan kerjasama dengan GRS.
PH Sabah menjadi rakan kongsi GRS selepas tujuh Adun yang mewakili gabungan itu menyatakan sokongan kepada Hajiji dan kepimpinannya semasa krisis politik Januari lalu.
Ketua DAP Sabah, Phoong Jin Zhe mengesahkan majlis makan malam itu tetapi enggan mendedahkan kandungan mesyuarat berkenaan.
Dia turut mengesahkan PH Sabah akan mengadakan mesyuarat pada 17 Dis ini untuk membuat keputusan.
Menurutnya, pertimbangan DAP tetap jelas iaitu memastikan keputusan muktamad memberi manfaat kepada rakyat dan Sabah.
Sementara itu, Hajiji berkata dia juga telah memberi taklimat kepada Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi mengenai status GRS dan peluangnya memenangi pilihan raya negeri.