Ketua Wanita PN, Mas Ermieyati Samsudin mengecam tindakan seorang anggota polis berpakaian seragam yang dirakam menunjukkan isyarat lucah kepada seorang jurugambar wanita dalam satu aksi protes baru-baru ini.
Gambar terbabit tular di media sosial dan turut dikongsi dalam akaun Telegram pemberi maklumat, Edisi Siasat.
“Tindakan yang tidak bermoral ini telah mencetuskan kemarahan dan kekecewaan pelbagai lapisan masyarakat, khususnya kaum wanita yang menuntut agar wujudnya penghormatan serta integriti dalam setiap tindakan yang dilakukan oleh pihak berkuasa,” kata Mas Ermieyati dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Masjid Tanah itu berkata tindakan anggota polis terbabit bukan sahaja mencemarkan imej pasukan polis, tetapi juga merendahkan martabat wanita.
“Sebagai sebuah negara yang menghormati hak asasi manusia dan kesaksamaan jantina, tindakan seperti ini tidak seharusnya berlaku.
“Ia merupakan satu kesalahan serius yang perlu dikenakan tindakan setimpal untuk memberikan mesej jelas bahawa tiada individu, terutama dalam pasukan beruniform, yang boleh terlepas daripada tanggungjawab mereka,” katanya.
Menurutnya, tindakan anggota berkenaan melanggar Seksyen 509 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman bagi sesiapa yang dengan niat jahat mengaibkan kehormatan seseorang melalui kata-kata, isyarat atau tingkah laku.
“Di bawah seksyen ini, mereka yang disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” tegasnya.
Justeru, Mas Ermieyati menggesa jurugambar terbabit membuat laporan polis agar pihak berkuasa menjalankan siasatan dan memastikan tindakan tegas diambil terhadap anggota yang terlibat.
Katanya, sebagai sebuah organisasi yang memperjuangkan hak dan keselamatan wanita, Wanita PN akan terus memantau perkembangan kes itu dan memastikan insiden sama tidak berulang.
Selain itu, Mas Ermieyati turut menyeru pihak berkuasa mempertingkatkan latihan dan kesedaran dalam kalangan anggota polis berhubung etika, penghormatan terhadap hak asasi manusia, serta pentingnya menjaga maruah dan integriti institusi polis.
“Wanita PN tetap komited untuk memperjuangkan hak wanita untuk hidup dengan selamat , aman dan dihormati oleh semua pihak, termasuk pihak berkuasa,” tambahnya.
Sementara itu, jurugambar wanita berkenaan berharap pendedahannya dapat menyedarkan masyarakat bahawa perbuatan anggota polis terbabit adalah tidak normal.
“Saya berada di situ untuk merakam suasana sekitar lokasi satu protes mengenai hak asasi manusia.
“Tak sangka seorang anggota polis boleh terlintas dalam fikirannya untuk melihat saya sebagai objek seksual. Ini bukan lawak jenaka, tetapi gangguan seksual,” katanya.
Malaysiakini sedang memohon kebenaran wanita berkenaan untuk menerbitkan semula hantarannya di Instagram.