Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hukuman khalwat berulang kekal, pesalah disebat 27 Dis

Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu mengekalkan hukuman enam sebatan terhadap pesalah khalwat berulang selepas pelaksanaannya digantung sementara susulan ada permohonan semakan keputusan.

Menurut sumber, perkembangan terkini itu diputuskan dalam persidangan yang diadakan bagi mendengar semakan kes tersebut pada Rabu lalu.

Katanya, hukuman sebatan itu dijadualkan pada tarikh 27 Dis dan bertempat di lokasi yang ditetapkan sebelum ini, Masjid Al-Muktafi Billah Shah di Ladang, Kuala Terengganu.

“Hukuman akan dijalankan selepas solat Jumaat dengan kehadiran 70 orang khalayak yang dipilih,” kata sumber yang enggan identitinya didedahkan.

Pada 20 Nov lalu, seorang duda muncul sebagai pesalah pertama yang akan dihukum sebat secara terbuka atas kesalahan jenayah syariah di Terengganu.

Hakim kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail, menetapkan hukuman tersebut terhadap Mohd Affendi Awang, 42, yang mengaku salah atas dakwaan melakukan khalwat kali ketiga.

Mohd Affendi didakwa mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.

Dia turut dikenakan denda RM4,000, dan enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Tukang rumah itu pernah didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku salah bagi pertuduhan khalwat pada 11 Julai 2023 di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kemaman.

Bapa kepada lima anak itu sekali lagi didakwa melakukan kesalahan sama pada 25 Jan lalu dan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu menjatuhkan hukuman empat sebatan dan denda RM3,000.

Mahkamah kemudian memerintahkan hukuman enam sebatan dilaksanakan selepas solat Jumaat pada 6 Dis lalu namun dua hari sebelum itu, kerajaan negeri memaklumkan pelaksanaan hukuman digantung sementara.

Menurut surat pemberitahuan bertarikh 11 Dis yang dilihat Malaysiakini, perintah hukuman tersebut ditandatangani Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, Noor Afzan Adam.

Sementara itu, sumber lain yang rapat dengan kerajaa negeri Terengganu memaklumkan Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu Muhammad Khalil Abdul Hadi dijangka mengadakan sidang media mengenai perkara itu sehari dua lagi.

Sebelum ini NGO Sisters In Islam (SIS) menyifatkan hukuman sebat berkenaan sebagai tindakan "kejam" dan mempertikaikan apa yang terjadi kepada negara ini.

“Apa yang telah terjadi kepada negara kita? Bagaimana kita sampai ke titik kekejaman dipuji atas nama moraliti?

“Adakah kita begitu terdesak untuk menegakkan pandangan ini sehingga kita meninggalkan asas peradaban dan rasa hormat terhadap kemanusiaan?

"Ini ketidakadilan besar yang tanpa ragu perlu dikutuk,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS