Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP DAP gelar presiden MCA 'tin Milo kosong'
Diterbitkan:  Dec 15, 2024 11:41 AM
Dikemaskini: 3:41 AM

Perdebatan mengenai dakwaan kewujudan titah adendum supaya Najib Razak menjalani baki hukumannya di rumah semakin panas dengan kata mengata.

Enggan berdiam diri, Ahli Parlimen DAP, Lim Lip Eng, menyasarkan Wee Ka Siong, dengan menggelarkan presiden MCA itu sebagai "tin Milo kosong".

Ahli Parlimen Kepong itu turut menggesa Wee berterus terang dengan menjelaskan sama ada MCA menyokong Najib menjalani baki hukuman di rumah.

“Orang awam berhak mendapat jawapan jelas daripada MCA, tanpa sebarang kekeliruan,” tegas Lim.

Kenyataan Lim itu dibuat sebagai respons terhadap Wee yang membidas keengganan Perdana Menteri , Anwar Ibrahim untuk mengesahkan kewujudan titah tambahan tersebut.

"Presiden MCA, Wee Ka Siong, telah menunjukkan kepada orang awam bahawa sebuah bekas kosong – atau mungkin ‘tin Milo’ – paling kaut berbunyi.

“Ini jelas melalui serangan tidak berasas beliau terhadap perdana menteri, menuduhnya menyembunyikan maklumat mengenai titah tambahan Diraja,” tambahnya.

Lim berkata Anwar telah menjelaskan di parlimen bahawa dia tidak akan mengulas mengenai perkara itu memandangkan ia boleh menimbulkan subjudis.

Tambahnya, memandangkan kes ini masih dalam semakan kehakiman, kerajaan terikat dengan peraturan subjudis dan tidak boleh memberikan ulasan.

Kenyataan itu merujuk kepada cabaran Najib berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan kehakimannya untuk menguatkuasakan “perintah tahanan rumah” yang didakwa dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.

Lim yang merupakan seorang peguam turut meminta Wee merujuk kepada pakar undang-undang daripada MCA sebelum membuat kenyataan melulu dan tidak berasas mengenai titah berkenaan.

“Jika tidak, beliau akan terus memalukan diri sendiri,” tegas Lim.

Sementara itu Lim menjelaskan bahawa walaupun peraturan subjudis sering dikaitkan dengan sistem juri, mahkamah Malaysia, termasuk Mahkamah Persekutuan, telah mengesahkan bahawa ia relevan dalam sistem perundangan negara ini.

Sebagai rujukan, dia menyarankan Wee membaca penghakiman Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam kes pendakwa raya melawan Najib Tun Razak [2020] 11 MLJ 808, khususnya perenggan 1222 hingga 1226, di mana prinsip subjudis dibincangkan secara terperinci.

“Duluan undang-undang ini jelas menunjukkan bahawa Wee telah melampaui batas dengan mengulas isu yang tidak difahaminya sepenuhnya.

“Baik disebabkan nasihat yang salah atau kejahilan, kenyataan melulu beliau memerlukan permohonan maaf secara terbuka kepada perdana menteri,” tambah Lim.

Anwar sebelum ini memaklumkan Dewan Rakyat bahawa dia tidak dapat menjawab perkara itu kerana peraturan Parlimen menghalang perbincangan subjudis melainkan jika ada kebenaran daripada Agong atau perkara itu diselesaikan di mahkamah.

Wee, bagaimanapun berkata peraturan subjudis tidak lagi terpakai memandangkan perbicaraan juri telah dimansuhkan dalam sistem perundangan Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS