Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Tengku Zafrul Abdul Aziz akan membuat kenyataan dalam masa terdekat berhubung khabar angin dia akan menyertai PKR tidak lama lagi.
Dia yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata ia bagi menjelaskan spekulasi yang tular, antaranya membabitkan dakwaan penyertaan itu bagi menggantikan Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.
"Saya belum membuat apa-apa komen mengenai situasi politik melibatkan diri saya dan pada masa yang sama kita dah dengar kenyataan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari yang akan menghabiskan penggalnya.
"....pada masa yang sama ada banyak spekulasi yang bermain di luar sana.
"Untuk menjawab isu ini saya, insya-Allah, akan membuat kenyataan mengenai isu ini dalam masa terdekat," katanya ketika ditemui pada program Larian Kebajikan Inklusiviti Teras Aspirasi (Kita) di Sungai Besar hari ini.
Ditanya jika spekulasi membabitkan dirinya itu akan dibincangkan pada Kongres Nasional Khas PKR di Shah Alam hari ini, Tengku Zafrul berkata dia tidak mempunyai apa-apa maklumat berhubung perkara itu.
Semalam, Amirudin berkata dia akan kekal menggalas tugas sebagai Menteri Besar Selangor sehingga akhir penggal.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, semalam turut mengesahkan dia tidak menerima sebarang pemakluman daripada Tengku Zafrul untuk meninggalkan Umno.
- Bernama