Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda Umno mahu hubungan dikaji jika parti kawan curi ahli
Diterbitkan:  Dec 15, 2024 11:10 AM
Dikemaskini: 3:10 AM

Pemuda Umno Malaysia mencadangkan, BN mengkaji semula hubungan mereka dengan parti "kawan" ekoran ada desas-desus menyatakan ada ahli Umno yang sedang 'dipikat' pihak luar.

Dalam kenyataan ringkas malam tadi, ketuanya Dr Akmal Saleh, berkata langkah tersebut wajar difikirkan jika ada "kawan dalam kerajaan" yang tidak menghormati mereka.

Akmal yang juga exco Melaka berkata, Umno mempunyai maruah dan parti itu tidak boleh diperlekehkan.

"Jika ada kawan yang dalam kerajaan sendiri tidak mampu nak hormat Umno dan BN dengan nak ambil ahli parti kawan sendiri, maka seharusnya kita perlu kaji semula hubungan ini," katanya tanpa memetik sebarang nama.

Bagaimanapun Akmal dipercayai mengulas laporan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz, mungkin menyertai PKR.

Dia sebelum ini merupakan ahli perbankan sebelum dibawa menyertai kerajaan semasa zaman Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri. Dia kemudian dikekalkan dalam kabinet apabila Ismail Sabri Yaakob menggantikan Muhyiddin, serta terus menjadi anggota kerajaan di bawah Anwar Ibrahim.

Dia juga merupakan ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno.

Sebelum ini Tengku Zafrul dilantik menjadi Bendahari Umno Selangor namun melepaskan jawatan tersebut pada 1 April lalu ekoran perbezaan pandangan dengan barisan kepimpinan parti di negeri berkenaan.

Dia sempat menggalas jawatan tersebut selama kira-kira setahun.

Pada 13 Dis lalu Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, parti itu tidak ada menerima sebarang permohonan menjadi ahli daripada Tengku Zafrul.

Menurut Akmal, semasa PN menjadi kerajaan sudah ada parti lain yang "sibuk nak mencuri" ahli Umno agar menyeberang menyertai pihak lain.

Justeru, katanya, kali ini Umno perlu menunjukkan ketegasan agar ia tidak berulang.

"Umno bukan parti yang boleh ditendang ke sana sini. Kita ada maruah kita," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS