Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes Zahid: Pemimpin PH enak di kerusi empuk, kata PAS
Diterbitkan:  Dec 15, 2024 9:34 AM
Dikemaskini: 1:40 AM

Inti pati:

  • PAS mengkritik PH kerana tidak memberikan reaksi terhadap keputusan Jabatan Peguam Negara yang menarik balik rayuan kes Ahmad Zahid Hamidi, mencetuskan persepsi ketidakadilan.

  • Ahmad Fadhli Shaari mendesak penjelasan daripada Peguam Negara dan Perdana Menteri berkenaan keputusan tersebut, serta kemungkinan pengaruh luar terhadapnya.

  • PAS mempertikaikan ketidaksamarataan dalam sistem perundangan, menuntut keadilan yang adil bagi semua tanpa mengira kedudukan.


PAS mengkritik PH yang dianggap mereka berdiam diri terhadap keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) menarik balik rayuan keputusan mahkamah membebasankan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dalam kes rasuah visa luar negara (VLN).

Ketua Penerangan PAS Pusat Ahmad Fadhli Shaari berkata langkah tersebut bukan saja merupakan "episod gelap" dalam sistem perundangan negara, malah mewujudkan persepsi bahawa keadilan mempunyai dua piawaian berbeza.

"Parti-parti komponen di dalam kerajaan juga nampaknya sedang membisu dalam kes ini.

"Semuanya sedang enak mengira untung di atas kerusi empuk kabinet dengan melupakan slogan reformasi yang dilaungkan selama ini," dakwa ahli parlimen Pasir Mas itu.

Tambahnya, keputusan AGC pada 12 Dis lalu turut menjejaskan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.

Kata Ahmad Fadhli sebelum ini Malaysia tegas dalam usahanya membanteras rasuah, tetapi tindakan AGC dalam kes Presiden Umno itu memberi gambaran sebaliknya.

"Dunia sedang memerhati," katanya lagi.

Menurut Ahmad Fadhli penjelasan diperlukan daripada Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar, dan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berhubung keputusan AGC tidak merayu dalam kes Ahmad Zahid.

Keadilan mesti dirasai

Katanya, orang ramai mahu tahu sama ada keputusan tersebut dibuat secara bebas atau sebaliknya dipengaruhi oleh pihak tertentu.

"Rakyat berhak tahu sebab rayuan ini ditarik balik dan siapa yang bertanggungjawab. Tanpa jawapan yang jelas, integriti sistem keadilan akan terus dipersoalkan," katanya.

Pada Khamis lalu keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebas dan melepaskan Ahmad Zahid daripada 40 pertuduhan rasuah kekal selepas pihak pendakwaan menarik balik rayuan mereka di Mahkamah Rayuan.

Antara lain timbalan pendakwa raya memberitahu AGC mengambil kira representasi yang dikemukakan oleh Ahmad Zahid dalam kes tersebut.

Ahmad Zahid Hamidi

Untuk rekod, kira-kira 15 bulan lalu Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah, membenarkan permohonan DNAA yang dikemukakan oleh Mohd Dusuki yang ketika itu berkhidmat sebagai timbalan pendakwa raya.

Bagaimanapun untuk rekod status DNAA masih membuka kemungkinan Ahmad Zahid boleh didakwa semula pada masa hadapan jika pihak pendakwa ingin menyemak semula perkara tersebut.

Kata Ahmad Fadhli, apa yang berlaku ke atas Ahmad Zahid baru-baru ini mencerminkan seolah-olah wujud dua darjat dalam penguatkuasaan undang-undang.

"Jika seorang pemimpin tinggi negara boleh dilepaskan tanpa perbicaraan penuh, mengapa rakyat biasa perlu menjalani proses perundangan yang ketat?

"Perkara ini mencalarkan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman negara dan menggugat prinsip Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kesaksamaan di sisi undang-undang," katanya.

Lebih mengejutkan, menurut ahli parlimen PAS itu, episod kedua melibatkan Ahmad Zahid mencipta duluan berbahaya yang boleh digunakan oleh pihak lain pada masa depan.

"Rakyat menuntut keadilan yang sama rata, tanpa mengira pangkat dan kedudukan.

"Keadilan bukan sekadar untuk dilihat ditegakkan, tetapi mesti dirasai oleh rakyat.

"Jika rakyat biasa perlu melalui proses perbicaraan penuh, maka pemimpin negara juga harus menerima layanan yang sama," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS