Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kongres khas PKR untuk ubah sistem pemilihan parti

WAWANCARA | Majlis pimpinan pusat PKR akan mengadakan kongres khasnya hari ini untuk memperkenalkan pindaan perlembagaan yang akan mengubah cara parti itu menjalankan pemilihan.

Setiausaha Agung Fuziah Salleh berkata mereka mahu menghapuskan sistem 'satu ahli satu undi' untuk memilih enam jawatan tertinggi parti, iaitu presiden, timbalan presiden dan empat naib presiden.

Sebaliknya, katanya, majlis itu akan mencadangkan PKR kembali kepada sistem perwakilan dan memberi kuasa mengundi kepada kira-kira 30,000 perwakilan parti daripada 222 cabang di seluruh negara.

“Jadi satu perbincangan yang mendalam (diadakan) kerana kita mendapati anggota di akar umbi itu mungkin tak kenal secara mendalam satu-satu pemimpin.

"Katalah nak pilih naib presiden, mungkin kenal nama, tengok dari jauh, tahu pandai bercakap, tapi dia tak tahu kemampuan orang itu dari segi delivery, turun padang dan sebagainya/

"Jadi tak adil kalau setiap anggota itu mengundi," kata Fuziah kepada Malaysiakini dalam satu wawancara pada Jumaat.

Setiausaha agung PKR yang baru dilantik itu memberi sesi wawancara untuk menjelaskan matlamat PKR yang mahu dicapai pada kongres khasnya, yang akan diadakan di Shah Alam pagi ini.

Dia berkata ia adalah atas sebab yang sama PKR telah meneruskan sistem perwakilan untuk memilih 20 ahli parti ke majlis pimpinan pusatnya, atau dikenali dengan singkatan 'MPP'.

Bagaimanapun, rancangan untuk kembali kepada sistem perwakilan tidak akan menjejaskan pemilihan cawangan, di mana setiap ahli masih mempunyai kuasa untuk memilih calon yang boleh memimpin mereka di peringkat cawangan.

Untuk rekod, PKR telah memperkenalkan sistem 'satu ahli satu undi' pada 2010, di mana semua ahli parti mempunyai kuasa untuk memilih pemimpin mereka di cawangan masing-masing dan untuk enam pemimpin tertinggi pusat.

Apabila ditanya sama ada rancangan itu mungkin dianggap sebagai langkah regresif, Fuziah menyangkal tanggapan itu.

Dia berkata parti itu telah belajar daripada pengalaman mereka dalam pemilihan parti yang lalu, yang menunjukkan bagaimana amalan 'satu ahli satu undi' terbuka kepada penyalahgunaan.

“Sistem satu ahli satu undi juga boleh dianggap sebagai regresif,

oleh kerana mereka tak kenal, ada kemungkinan mereka gunakan cai dan sebagainya.

"Jadi kita lihat bahawa dia tidak berlaku adil dalam pemilihan tersebut, sebab bukan sebab atas kepimpinan, jadi akhirnya mungkin orang yang cai paling banyak itu orang yang jadi pemimpin," katanya.

Fuziah berkata MPP juga sedang berusaha untuk menambah baik sistem pemilihannya dengan menambah bilangan perwakilan parti yang layak mengundi bagi jawatan kepimpinan pusat.

Mengikut amalan semasa, setiap 222 cabang PKR hanya diwakili pada mesyuarat agung tahunan parti oleh 12 perwakilan.

Usul yang dicadangkan MPP lewat hari ini, katanya, bertujuan menambah bilangan perwakilan yang mempunyai kuasa mengundi kepada 116 setiap cawangan.

Angka itu termasuk 46 ahli jawatankuasa cawangan dan sayap yang dipilih, yang boleh menghadiri kongres tahunan secara fizikal, serta 70 perwakilan yang akan membuang undi dalam talian.

Cawangan yang mempunyai lebih daripada 3,000 ahli akan layak mendapat 10 perwakilan tambahan bagi setiap 1,000 ahli, kepada maksimum 156.

Menurut Fuziah, mereka juga memperkenalkan kuota bagi memastikan setiap jantina dan etnik diwakili secara adil di peringkat perwakilan cawangan.

Berdasarkan penjelasan Fuziah, difahamkan sistem kuota akan mengenakan 30 peratus perwakilan mandatori untuk wanita. Setiap cawangan juga perlu diwakili secara adil mengikut komposisi etnik di tempat mereka, mengikut data demografi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS