Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Pameran foto Mkini sorot pencemaran akibat perlombongan di Kelantan

Meja laporan khas Malaysiakini, Kini News Lab hari ini mengadakan pemeran foto menyorot isu pencemaran sungai yang mengancam kehidupan masyarakat Orang Asli di Kampung Kelaik, Gua Musang, di Kelantan.

Pameran terbabit berlangsung di pusat penyelidikan hutan di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur.

Program yang bermula jam 11 pagi itu mempamerkan hasil kerja wartawan S Vinothaa dan jurugambar Azneal Ishak berhubung laporan pencemaran sungai yang mengancam keselamatan dan kesihatan masyarakat Orang Asli susulan perlombongan bijih besi di kawasan itu.

Selain pameran foto, program turut diselitkan dengan forum membabitkan wakil masyarakat Orang Asli serta pakar yang berkaitan keselamatan alam sekitar.

Vinothaa dan Azneal yang terlibat menghasilkan laporan khas berkenaan turut berkongsi pengalaman ketika di lapangan.

Wakil masyarakat Orang Asli, Ahak Uda berharap isu yang membelenggu komuniti mereka dapat diselesaikan dengan nilai kemanusiaan.


BACA BERKAITAN
‘Maut di sungai merah’ - Orang Asli risau anak-anak keracunan

Orang Asli harungi ‘sungai maut’ - melawan lombong bijih di hutan Kelantan


Dia juga berharap tanah adat yang telah dirampas sebelum ini dikembalikan semula kepada mereka.

"Harapan saya bantulah kami secara keadilan dan berperikamusiaan.

"Masalah air dan tak boleh turun ke sungai itu saya tak boleh jamin (masyarakat Orang Asli tak turun ke Sungai). Cuma minta bantuan untuk selesaikan isu sungai (tercemar) ini.

"Kami nak tanah (adat) kembali kepada masyarakat Orang Asli, mana-mana bangsa negara sekalipun tanah adalah penting," katanya.

Jelasnya, penerokaan hutan secara tidak teratur di kawasan berkenaan telah memberi kesan kepada kehidupan mereka bukan sahaja dari segi kesihatan, tetapi juga ancaman haiwan liar.

Sebelum ini, Malaysiakini menyiarkan siri laporan khas perjuangan masyarakat Orang Asli membantah aktiviti perlombongan di hutan Kelantan.

Perlombongan bijih besi berkenaan menyebabkan pencemaran sungai sekaligus mengancam keselamatan mereka.

Malaysiakini juga menyiarkan kegusaran masyarakat Orang Asli terhadap pencemaran itu yang boleh memberi kesan kepada anak-anak mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS