Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mesej 'perang akan bermula': Umno Sabah gesa Jeffrey lapor polis
Diterbitkan:  Dec 13, 2024 9:42 PM
Dikemaskini: 1:42 PM

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Sabah Star) Jeffrey Kitingan, kini mendapati dirinya diheret dalam kontoversi skandal rasuah melibatkan ahli politik Sabah.

Seorang pemimpin Pemuda Umno Sabah menggesa Jeffrey membuat laporan polis berhubung tangkapan skrin Whatsapp yang mengaitkannya dengan video yang membabitkan beberapa Adun.

“Adalah amat penting untuk memastikan kesahihan maklumat tersebut sebelum diterima sebagai fakta.

"Jika ‘screenshot’ mesej berkenaan didapati tidak benar, digesa Jeffrey Kitingan untuk segera membuat laporan polis,” kata Ketua Pemuda Umno Kinabatangan Mohd Fazirul Sulaiman dalam satu kenyataan.

Dia berkata memandangkan perbualan Whatsapp itu memberi gambaran bahawa Jeffrey adalah dalang di sebalik pemberi maklumat yang mengeluarkan video itu, dia mesti membuat laporan untuk menjaga reputasinya.

“Usaha mesti diambil untuk mencegah kerosakan imej yang disebabkan oleh maklumat palsu.

"Laporan polis juga membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab menyebarkan mesej tersebut dan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya,” tambahnya.

Sebelum ini, Jeffrey yang merupakan timbalan ketua menteri 1 menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bersubahat untuk menjatuhkan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.

Ini susulan klip video yang mengandungi tangkapan skrin yang menunjukkan Kitingan dikatakan mengetahui tentang video tersebut lebih awal.

Jeffrey menafikan tuduhan itu dan menyifatkannya sebagai bermotifkan politik serta bertujuan memecahbelahkan.

Jeffrey mendakwa tangkapan skrin, yang didakwa bertarikh 1 Nov 2024, memaparkan “sebahagian perbualan yang dipetik di luar konteks, dan dijadikan sebagai sokongan palsu kepada tuduhan tersebut.”

Dalam perbualan itu, Jeffrey dilaporkan dimaklumkan bahawa “perang akan bermula very soon (perang akan bermula tidak lama lagi).”

Dalam perbualan itu, Jeffrey didakwa membalas, “Bila?” sebelum pihak lain menjawab, “Next week (minggu depan),” diikuti mesej “Good day boss” dan “Hajiji akan dituduh ke mahkamah.”

Video itu muncul selepas Jeffrey mempertahankan Hajiji daripada desakan Umno Sabah agar dia digantikan sebagai ketua menteri.

Pemberi maklumat enggan mengulas mengenai tangkapan skrin itu.

Sebelum ini, Jeffrey menegur Umno selepas bendahari pemudanya Naim Moktar menggesa Hajiji mengenepikan jawatan ketua menteri dan membenarkan Jeffrey mengetuai kerajaan negeri sementara.

Jeffrey berkata adalah tidak wajar untuk Naim membuat cadangan itu berdasarkan dakwaan dan sindiran yang tidak berasas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS