Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Projek Jana Wibawa: PMO syor lima syarikat termasuk Nepturis, kata saksi
Diterbitkan:  Dec 13, 2024 6:20 PM
Dikemaskini: 10:20 AM

Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Pejabat Perdana Menteri (PMO) telah mengesyorkan lima syarikat termasuk Nepturis Sdn Bhd untuk dinilai bagi pelaksanaan projek di bawah Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Program Jana Wibawa diperkenal ketika pentadbiran Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan objektif mempercepat pelaksanaan projek dan meningkatkan ekonomi negara semasa pandemik Covid-19.

Bekas Timbalan Setiausaha Bahagian Perolehan Kerajaan di Kementerian Kewangan Datin Rosni Mohd Yusoff, 52, berkata lima syarikat yang telah disenaraikan PMO itu dinilai oleh Jawatankuasa Penilaian Kontraktor Kementerian Kewangan bagi Projek Lingkaran Tengah Utama: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur.

"Jawatankuasa Penilaian Kontraktor memulakan penilaian ke atas syarikat-syarikat ini berdasarkan kepada arahan daripada PMO dan kalau kita lihat, PMO telah menyenaraikan lima syarikat sepertimana dinyatakan dalam surat bertarikh 9 Mac 2021.

"PMO yang mengesyorkan dan memperakukan syarikat-syarikat yang terlibat untuk projek ini," katanya semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Dr Ifa Sirrhu Samsudin pada perbicaraan kes bekas Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan yang berdepan 18 pertuduhan pengubahan wang haram dan dua pertuduhan rasuah berhubung projek Jana Wibawa.

Terdahulu, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Wan Saiful membantah soalan pihak pendakwaan kerana ia sepatutnya ditanya semasa pemeriksaan utama dan bukan pemeriksaan semula.

Bagaimanapun, Ifa Sirrhu berkata ia mempunyai kaitan dengan soalan balas peguam dan Rosni memaklumkan mahkamah bahawa beliau perlu memberi penjelasan terperinci mengenai penglibatan PMO ketika itu.

"Kalau saya tidak terangkan memang tidak nampak dekat mana (penglibatan PMO). Saya kena terangkan proses itu Yang Arif," kata saksi pendakwaan ketiga itu.

Hakim Rosli Ahmad kemudian memutuskan bahawa saksi itu boleh menerangkan perkara tersebut namun tidak perlu memberi penjelasan secara panjang lebar.

Wan Saiful, 49, didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada kerajaan Malaysia secara prakelayakan bernilai RM232 juta.

Beliau juga didakwa menerima wang tunai RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya, WSA Advisory Group Sdn Bhd, daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek terbabit.

Kedua-dua kesalahan didakwa dilakukan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di Kuala Lumpur pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku antara 8 Julai hingga 30 Sept 2022.

Wan Saiful turut berdepan 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta dengan memindah dan menggunakan wang hasil aktiviti haram itu antaranya bagi membayar pembelian kenderaan jenis Ford Ranger di Cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku di Kuala Lumpur antara 12 Ogos dan 13 Nov 2022.

Perbicaraan bersambung 16 Jan depan.

- Benama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS