Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zafrul masuk PKR? Belum ada borang diterima, kata Fuziah

Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh hari ini berkata dia setakat ini tidak menerima borang permohonan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz untuk menyertai parti itu.

Bercakap kepada Malaysiakini, Fuziah berkata PKR tidak menerima sebarang permohonan keahlian daripada Zafrul, yang merupakan ahli Majlis Tertinggi Umno dan ketua bahagian Umno Kota Raja di Klang.

Menurut Fuziah, jawatankuasa pimpinan pusat PKR akan membincangkan permohonan keahlian baru dalam mesyuarat bulanan mereka dan nama besar seperti Zafrul tidak akan terlepas pandang.

“Kita akan luluskan (permohonan keahlian) pada setiap mesyuarat pimpinan pusat. Setakat mesyuarat terakhir pada 30 Nov, tiada (daripada Zafrul).

"Pemohonan kumpulan seterusnya akan dibincangkan dalam mesyuarat kami yang akan datang," katanya semasa temu bual di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya awal hari ini.

Fuziah menjawab soalan mengenai khabar angin bahawa Zafrul merancang untuk meninggalkan Umno dan menyertai PKR.

Menurut timbalan menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup itu, Zafrul juga tidak pernah menghubunginya untuk berbincang atau menunjukkan minat menyertai PKR.

Bagaimanapun, dia menegaskan sesiapa yang ingin menyertai PKR dialu-alukan untuk mengisi borang keahliannya melalui sistem dalam talian parti itu.

Tambah Fuziah, setiap ahli baru perlu melalui prosedur permohonan biasa dan "tiada laluan khas".

“Saya tak ada terima personal pun daripada dia. Maksudnya jika dia mahu (sertai PKR), mungkin dia dah isi borang, mungkin dia dah isi dalam talian, kita tak tahu, sebab dalam sistem.

"Kita hanya akan keluarkan dari sistem itu bila nak mesyuarat," katanya.

Awal hari ini, portal berita Free Malaysia Today memetik sumber yang mendakwa bahawa rundingan sedang berjalan untuk Zafrul menyertai PKR.

Zafrul dikatakan telah diperuntukkan untuk memainkan peranan dalam pentadbiran negeri Selangor, yang berada di bawah kepimpinan PKR.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS