Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K’jaan cadang penyahkelasan laporan pasukan petugas khas Batu Puteh

Jemaaah menteri hari ini membuat keputusan untuk mencadangkan kepada Peguam Negara supaya mempertimbangkan penyahkelasan laporan akhir pasukan petugas khas Batu Puteh, kata jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil.

Menurutnya keputusan itu dibuat selepas laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dibentangkan dan dibahaskan oleh ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat semalam.

“Ini adalah dua dokumen berbeza, yang telah dibentangkan di Parlimen adalah RCI Batu Puteh, dan dalam laporan RCI itu ada juga merujuk kepada satu laporan pasukan petugas khas Batu Puteh.

“Laporan tersebut berkisar hasil siasatan pasukan petugas khas yang ditubuhkan 29 Oktober 2021 dan laporan akhir telah dibentang kepada jemaah menteri pada 27 Oktober 2022,” katanya pada sidang media mingguan di Putrajaya, hari ini.

Pada 5 Dis lalu, RCI berkenaan mengesyorkan siasatan jenayah dimulakan terhadap bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dalam laporan RCI itu - yang dinyahklasifikasikan di parlimen - Mahathir didakwa menipu kabinet pada 2018 untuk menarik semula semakan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menganugerahkan pulau Batu Puteh kepada Singapura.

Menurut RCI itu, Mahathir telah membuat keputusan sepihak untuk menghentikan semakan tersebut tanpa persetujuan kabinet, dan hanya memberi taklimat kepada mereka tentang sebab dia berbuat demikian.

Dalam perbahasan di parlimen semalam, Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin mempersoalkan apakah RCI bagi mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan bertujuan mencari kesalahan Mahathir.

Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, adalah tidak adil sekiranya Mahathir seorang dipersalahkan sedangkan keputusan itu turut melibatkan jemaah menteri pada 2018.

Mengulas lanjut Fahmi yang juga menteri komunikasi turut menyinggung ahli-ahli parlimen pembangkang yang mengambil bahagian menghentam kerajaan susulan syor dikemukakan RCI Batu Puteh.

Ini kerana katanya, laporan akhir pasukan petugas khas yang ditubuhkan ketika pemerintahaan Perdana Menteri Kesembilan Ismail Sabri Yaakob itu mengesyorkan perkara yang sama seperti mana syor RCI Batu Puteh.

Tambahnya ketika itu Hamzah, Ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Putrajaya, Mohd Radzi Jidin turut merupakan jemaah menteri.

“Laporan tersebut telah dimulakan sewaktu zaman pemerintahan perdana menteri kesembilan yang mana MP Larut, MP Kota Bharu dan Putrajaya adalah di kalangan ahli jemaah menteri.

“Dalam mesyuarat jemaah menteri hari ini telah dimaklumkan bahawa hasil laporan bagi pasukan petugas khas adalah sama dengan syor yang telah dikemukakan dalam RCI Batu Puteh bermaksud dari satu sudut kedua-dua mendapati perkara yang sama.

“Laporan pasukan petugas khas telah mengesyorkan agar ada pendakwaan berdasarkan pengabaian tugas oleh seorang pegawai awam dan inilah juga apa yang disyorkan oleh RCI,” kata Fahmi.

Justeru tegasnya, bantahan ahli-ahli parlimen pembangkang itu seolah-olah mahu menyatakan syor RCI ini jauh berbeza daripada laporan (pasukan petugas khas) yang mereka sendiri baca sewaktu mereka berada dalam jemaah menteri.

“Ini adalah satu perkara yang cukup mengganjilkan.

“Penyahkelasan dokumen ini akan bersifat penuh kecuali bagi perkara-perkara yang berkaitan dengan isu-isu diplomasi, keselamatan dan juga pertahanan negara,” katanya.

Sementara itu Fahmi berkata RCI Batu Puteh dibentangkan di Dewan Rakyat sebagai penambahbaikan dalam membuat keputusan dasar dan sama sekali tidak bersifat dendam terhadap seseorang.

“Kita nak elak daripada kesilapan ataupun cara sesuatu perkara itu dikendalikan dulu tidak berulang. Itulah niat kita, bukan bersifat dendam atau mewarnakan seseorang itu sedemikian rupa, apatah lagi apabila kedua-dua laporan ini mengesyorkan perkara yang sama.

“Jadi bagi saya ini bukanlah satu isu ultranasionalis atau isu dendam tetapi ia melibatkan pengabaian tugas oleh seorang pegawai awam yang sepatutnya bertanggungjawab,” jelasnya yang memberi respons terhadap kenyataan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di parlimen.

Terdahulu Syed Saddiq berkata dia tak menyangka pada suatu hari akan ada pihak yang sanggup menyatakan Mahathir yang dikenali sebagai ultra-Melayu meletakkan kepentingan Singapura dahulu sebelum Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS