Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah, dan Tubir Selatan, bukan bertujuan membalas dendam terhadap bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Sambil menasihatkan pembangkang supaya tidak memainkan isu ‘dendam’ Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, pasukan petugas khas berkenaan ditubuhkan pada 2021 iaitu ketika mereka adalah kerajaan sebelum ini.
"Tidak timbul pun (untuk balas dendam), pasukan (petugas) khas itu dibuat sebelum saya pun, itu masa Ismail Sabri (Yaakob) sebagai perdana menteri.
"Menterinya (ketika itu adalah) Hamzah (Zainudin), Takiyudin (Hassan), pasukan petugas khas ada buat (kajian) dan 'finding' (penemuan mengenai kes Batu Puteh) lebih teruk lagi.
“Jadi tak usah main (naratif dendam)," katanya kepada wartawan selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Darul Ulum, SMKA Putrajaya, hari ini.
Pada 8 Okt 2021, Jemaah Menteri ketika itu bersetuju supaya pasukan petugas khas ditubuhkan untuk menyemak semula undang-undang berkenaan Batu Puteh.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, RCI itu sebagai prinsip mempertahankan kedaulatan dan wilayah negara.
"Ini soal wilayah, mana boleh? Ada ke negara yang mengizinkan (dengan) mudah begitu serah (wilayah).
“Mana boleh," katanya.
Semalam, beberapa ahli Parlimen blok pembangkang mendakwa prosedur RCI Batu Puteh bersifat balas dendam.
Ditanya sama ada Dr Mahathir wajar dikenakan tindakan seperti disyorkan dalam laporan RCI, perdana menteri berkata: "Saya tak cadang apa-apa, itu serah kepada peguam negara".
Sebelum ini, pihak pembangkang menyifatkan laporan RCI Batu Puteh itu antara agenda politik dendam khususya terhadap Mahathir yang kini menyokong pembangkang.