Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib tuduh anak Soros gugat kestabilan Malaysia
Diterbitkan:  Dec 13, 2024 3:25 PM
Dikemaskini: 7:40 AM

Najib Razak hari ini memberitahu mahkamah, anak lelaki George Soros adalah sebahagian daripada usaha bersepadu negara luar untuk menjejaskan kestabilan Malaysia.

Memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bekas perdana menteri itu berkata dokumentari mengenai 1MDB dihasilkan Alex Soros (atas) dibuat sebagai kempen media yang mengelirukan tentang dirinya dan mendorong Jabatan Kehakiman (DOJ) AS menjalankan siasatan bermotif.

Menafikan tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram bernilai RM2.27 bilion terhadapnya, Najib berkata usaha yang diselaraskan itu merangkumi aspek pembiayaan strategik sehingga manipulasi media, mencerminkan niat kolektif untuk merosakkan reputasinya dan menjejaskan kestabilan politik Malaysia.

“Kejayaan pengaruh asing ini jelas: Malaysia mempunyai empat perdana menteri dalam masa empat tahun saja selepas 2018, (menunjukkan) tahap ketidakstabilan politik yang tidak pernah berlaku sebelum ini," katanya.

Najib Razak

Menurut Najib lagi sebelum 2018 negara ini hanya mempunyai enam perdana menteri bagi tempoh 61 tahun sehingga membolehkan negara ditadbir denngan stabil.

Keadaan itu, katanya, menyerlahkan bukan saja agenda domestik tetapi juga agenda antarabangsa yang didorong oleh kepentingan peribadi bagi menyemarakkan naratif salah laku tanpa mengambil kira fakta.

“Kempen yang diselaraskan sedemikian mendedahkan niat yang lebih luas untuk menggugat kestabilan Malaysia dan melemahkan kepimpinannya - semuanya berselindung atas nama mempromosikan demokrasi,” katanya.

Najib menjadi perdana menteri dari 2009 sehingga 2018 sebelum BN dikalahkan buat kali pertama dalam PRU ke-14.

Malaysia kemudian ditadbir oleh kerajaan PH yang diketuai Dr Mahathir Mohamad sehingga awal 2020 apabila berlaku Langkah Sheraton yang menyaksikan Muhyiddin Yassin dilantik mengetuai kerajaan sehingga 2021.

Presiden Bersatu itu kemudian terpaksa berundur selepas hilang sokongan majoriti dan digantikan pula dengan Ismail Sabri Yaakob dari 2021 hingga 2022.

Selepas PRU kee-15 dilangsungkan pada 2023, Anwar Ibrahim dilantik sebagai perdana menteri.

Kata Najib Tertuduh berhujah bahawa dia tidak tahu mahupun terlibat dalam salah laku dan penyelewengan dana 1MDB, sebaliknya menuduh ahli perniagaan buruan polis, Jho Low (Low Taek Jho) serta anggota pengurusan syarikat itu sebagai pelakunya.

Perbicaraan dijalankan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah. Ahmad Akram Gharib bertindak sebagai timbalan pendakwa raya manakala Najib diwakili pasukan peguam diketuai Muhammad Shafee Abdullah.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS