Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KPDN tumpaskan sindiket seleweng minyak diesel
Diterbitkan:  Dec 13, 2024 2:54 PM
Dikemaskini: 6:54 AM

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi menerusi Op Tiris 3.0 dengan rampasan lebih 50,000 liter minyak.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Azman Adam berkata rampasan itu dibuat hasil serbuan ke atas sebuah kapal tunda di sebuah jeti di Pelabuhan Klang kira-kira jam 3 pagi semalam.

Katanya tindakan tersebut diambil anggota penguat kuasa KPDN Selangor bersama polis hasil risikan yang dijalankan sejak dua bulan lalu.

Menurut Azman pemeriksaan lanjut menemukan sejumlah minyak diesel di dalam tangki kapal tunda berkenaan di samping terdapat saluran penyambungan di antara kapal tunda itu ke sebuah tangki simpanan yang juga mengandungi minyak diesel.

Katanya ketika serbuan dibuat minyak berkenaan dipercayai sedang dipam keluar dari tangki kapal tunda ke tangki simpanan tersebut.

"Kegiatan ini dilakukan berdasarkan permintaan iaitu modus operandi sindiket adalah dengan melakukan pemindahan diesel pada waktu tengah malam dari kapal tunda ke tangki simpanan sebelum dipindahkan atau dipasarkan menggunakan lori.

"Dalam serbuan ini, seorang lelaki tempatan dan empat warga asing berumur lingkungan 30 hingga 50 tahun yang merupakan kru kapal telah ditahan bagi membantu siasatan," katanya pada sidang media di Jeti Bagan Hailam, Klang hari ini.

Azman berkata ketika pemeriksaan dilakukan, seorang warga tempatan yang mengaku sebagai pemilik kapal tunda itu hadir ke lokasi namun gagal mengemukakan sebarang dokumen atau lesen sah berkaitan urus niaga diesel tersebut.

Dia berkata sebuah kapal tunda, minyak diesel di dalam kapal dan tangki simpanan, hos penyambung dan beberapa dokumen berkaitan serta peralatan lain disita dengan anggaran rampasan RM900,000.

Azman berkata kertas siasatan dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti tersebut serta rantaian pengedaran dan sumber minyak diesel.

Sementara itu dia berkata sejak Op Tiris 3.0 dilancarkan pada 1 Jan hingga 10 Dis lalu sebanyak 16,876 pemeriksaan dilakukan di seluruh negara dengan 732 kes diambil tindakan melibatkan rampasan keseluruhan RM73.11 juta.

Tindakan itu katanya adalah sebahagian daripada inisiatif Kita Gempur oleh KPDN dalam usaha membanteras manipulasi aktiviti perniagaan dan ketirisan yang melibatkan barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS