Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jeffrey nafikan klip 'perang akan bermula'
Diterbitkan:  Dec 13, 2024 12:51 PM
Dikemaskini: 7:15 AM

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Sabah, Jeffrey Kitingan, menafikan sekeras-kerasnya tuduhan bahawa dia terlibat dalam konspirasi terhadap Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, susulan penyebaran video kontroversi di media sosial.

Video berkenaan memaparkan tangkap layar perbualan WhatsApp yang didakwa memaparkan Jeffrey mengetahui lebih awal mengenai video yang mengaitkan beberapa Adun Sabah dalam skandal rasuah.

“Tuduhan itu adalah palsu, mengelirukan, dan bermotifkan politik.

“Saya percaya ia bertujuan untuk memecahbelahkan kami dan GRS serta rakyat Sabah menjelang pilihan raya negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

Jeffrey, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah 1, menegaskan bahawa tidak ada sebarang konspirasi seperti yang didakwa.

“Star Sabah dan saya telah memberikan sokongan penuh kepada Hajiji untuk menjadi ketua menteri pada tahun 2020 dan sejak itu sokongan kami tidak pernah goyah walaupun menghadapi pelbagai cabaran,” ujarnya.

Dia mendakwa tangkap layar perbualan WhatsApp bertarikh 1 November 2024 itu hanyalah “sebahagian perbualan yang dipetik di luar konteks, dan dijadikan sebagai sokongan palsu kepada tuduhan tersebut.”

“Tduhan ini nampaknya disusun untuk seiring dengan tuduhan tidak berasas baru-baru ini terhadap kerajaan negeri Sabah, yang kini dalam siasatan SPRM,” katanya.

Jeffrey turut menyeru rakyat Sabah supaya berwaspada terhadap maklumat palsu dan menolak naratif jahat yang cuba memecah-belahkan kestabilan politik negeri.

“Saya tetap komited untuk memupuk perpaduan, kestabilan politik, dan pembangunan berterusan Sabah.

“Sebarang percubaan untuk memacu perpecahan antara pemimpin yang berusaha ke arah Sabah yang lebih baik tidak akan berjaya,” katanya.

Kontroversi itu berpunca daripada tangkap layar perbualan WhatsApp yang didakwa memaparkan Jeffrey dimaklumkan bahawa “perang akan bermula very soon (perang akan bermula tidak lama lagi).”

Dalam perbualan itu, Jeffrey didakwa membalas, “Bila?” sebelum pihak lain menjawab, “Next week (minggu depan),” diikuti mesej “Good day boss” dan “Hajiji akan dituduh ke mahkamah.”

Video itu muncul selepas Jeffrey mempertahankan Hajiji daripada desakan Umno Sabah agar dia digantikan sebagai ketua menteri.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Umno Kalabakan, Mohamad Alias Udin, mempersoalkan jika Jeffrey merupakan “dalang” di sebalik pendedahan pemberi maklumat yang mendedahkan video-video tersebut.

Hajiji Noor

Alias turut mempersoalkan mesej “Good day boss” dan “Hajiji akan dituduh ke mahkamah,” sambil menyoal jika Jeffrey sedang merancang “rampasan kuasa” terhadap Hajiji.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, mengesahkan bahawa 15 individu, termasuk pemberi maklumat tersebut, telah dipanggil untuk memberikan keterangan berhubung skandal rasuah yang didakwa itu.

Kontroversi terbaru ini menambahkan lagi kerumitan dalam landskap politik Sabah yang sememangnya tegang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS