BICARA 1MDB l Bekas Perdana Menteri, Najib Razak, memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Raja Salman, saudara tiri kepada Almarhum Raja Abdullah dari Arab Saudi, tidak pernah mempertikaikan isu sumbangan diraja kepada dirinya semasa lawatan rasmi ke Malaysia pada 2017.
Najib, yang membela diri dalam perbicaraan kes salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana RM2.27 bilion 1MDB, menafikan dakwaan pihak pendakwaan bahawa cerita sumbangan diraja itu adalah rekaan semata-mata.
Menurut Najib, Raja Salman tidak pernah membangkitkan isu sumbangan tersebut walaupun kedua-dua pemimpin berkenaan berinteraksi rapat sepanjang lawatan rasmi tersebut.
"Semasa lawatan rasmi baginda ke Malaysia pada 2017, baginda tidak menyebut apa-apa mengenai sumbangan daripada Raja Abdullah.
"Malah, dalam pertemuan peribadi, termasuk ketika saya berada di dalam kereta bersamanya, saya duduk bersebelahan, mengambil swafoto bersama baginda, tetapi baginda langsung tidak membangkitkan soal sumbangan itu.
"Baginda boleh berbuat demikian, tetapi baginda tidak melakukannya," kata Najib semasa memberi keterangan.
Najib turut menegaskan bahawa dakwaan pihak pendakwaan adalah satu penghinaan kepada keluarga diraja Arab Saudi kerana Raja Abdullah pada 2010 memang telah menjanjikan sumbangan tersebut kepadanya.
Kes ini terus menarik perhatian umum, dengan isu sumbangan diraja menjadi salah satu elemen utama dalam perbicaraan kes 1MDB yang sedang berlangsung.
Menurut Najib, hubungan baiknya dengan kerajaan Arab Saudi terserlah apabila Raja Salman membenarkan dirinya memasuki Kaabah di Mekah serta makam Nabi Muhammad SAW di Madinah.
"Adalah amat sukar dan hampir tidak pernah berlaku untuk seorang ketua kerajaan diberi kebenaran memasuki makam Nabi Muhammad SAW.
"Jika Raja Salman tidak berpuas hati dengan saya, adakah baginda akan melawat Malaysia atau membenarkan syarikat minyak Arab Saudi, Aramco, melabur di Pengerang, Johor?
"Adakah baginda akan membenarkan saya memasuki Kaabah atau makam Nabi? Tindakan baginda menunjukkan bahawa baginda berpuas hati dengan Malaysia," katanya semasa memberi keterangan di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur, hari ini.
Najib turut menyifatkan lawatan rasmi Raja Salman ke Malaysia sebagai satu penghormatan besar dan pengiktirafan terhadap hubungan erat yang dinikmati antara kedua-dua negara, meskipun selepas era pemerintahan Almarhum Raja Abdullah.
"Lawatan baginda ke Malaysia adalah tanda besar hubungan kukuh yang dinikmati dengan kerajaan Arab Saudi, walaupun selepas zaman Raja Abdullah," katanya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah kemudiannya ditangguhkan dan akan bersambung pada 6 Januari tahun depan.
Dalam pada itu, Bernama melaporkan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Keluarga Diraja Arab Saudi mahupun kerajaan negara itu tidak pernah mengeluarkan kenyataan rasmi untuk menafikan bahawa dana yang diterimanya dalam akaun AmIslamicnya sebenarnya adalah derma.
Najib berkata walaupun banyak penelitian rapi didedahkan mengenai dana yang diterima serta wujud dakwaan yang mempersoalkan kesahihannya, tidak ada kenyataan rasmi, baik dari Keluarga Diraja mahupun dari kerajaan Arab Saudi, menafikan bahawa dana itu adalah derma daripada Raja Abdullah.
"Ketiadaan penafian ini walaupun dalam menghadapi dakwaan berprofil tinggi sedemikian, menyokong kepercayaan saya bahawa dana itu adalah derma yang sah, ia konsisten dengan cara kerajaan atau monarki biasanya bertindak balas.
"Ada contohnya, apabila Arab Saudi telah mengeluarkan kenyataan rasmi untuk menangani dan menyangkal dakwaan, memetik contoh ketara yang berlaku pada September 2021, apabila dokumen sulit berkaitan serangan pengganas pada 11 September 2001 dikeluarkan," kata Najib.
Bekas perdana menteri itu berkata sebagai respons kepada dokumen yang didedahkan dan dakwaan berterusan penglibatan Arab Saudi dalam serangan itu, Kedutaan Arab Saudi di Washington D.C, Amerika Syarikat, mengeluarkan kenyataan yang jelas dan langsung, mengalu-alukan ketelusan dalam pendedahan dokumen berkenaan.
“Contoh ini menunjukkan bahawa apabila timbul tuduhan-tuduhan besar, Arab Saudi mengambil langkah rasmi untuk menanganinya secara terbuka dan tanpa ragu-ragu.
"Dalam kes saya, ketiadaan penafian ini adalah penting kerana ia sejajar dengan norma monarki yang ditetapkan untuk menangani tuntutan tidak berasas dan seterusnya menyokong kepercayaan tulen saya bahawa dana itu adalah derma yang sah," katanya.
Ahli politik berusia 71 tahun itu mengambil pendirian membela diri terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan RM2.3 bilion dana 1MDB sebagai rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Kepada soalan tambahan oleh peguam utamanya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Najib berkata walaupun semasa pertemuan peribadinya pada 2017 dengan pemerintah Arab Saudi sekarang dan abang tiri Raja Abdullah, Raja Salman tidak menyebut derma itu walaupun mereka berinteraksi rapat semasa lawatan itu.
“Raja Salman tidak bangkitkan apa-apa mengenai derma Raja Abdullah. Saya juga duduk di dalam kereta dan berswafoto dengannya, ia tidak pernah berlaku sebelum ini. Dia boleh (menyebut derma jika dia tidak berpuas hati), tetapi dia tidak melakukannya.
"Raja Salman, yang merupakan Penjaga Dua Masjid Suci bahkan mengizinkan saya masuk ke dalam Kaabah dan ke dalam makam Nabi Muhammad SAW, jika dia tidak senang dengan saya, dia tidak akan mengunjungi Malaysia dan tidak akan biarkan Aramco, syarikat minyak Arab Saudi melabur berbilion-bilion di Pengerang, Johor," tambahnya.
Najib berkata tindakan Raja Salman menunjukkan bahawa beliau sangat gembira dengan Malaysia dan lawatannya ke negara ini merupakan satu pengiktirafan besar terhadap hubungan kukuh dengan Arab Saudi.
"Pada 2016, kepercayaan saya bertambah lagi dengan kehadiran Menteri Luar Arab Saudi ketika itu, Adel Al-Jubair, yang secara terbuka mengesahkan bahawa dana itu adalah derma daripada Arab Saudi. Apa lagi yang boleh saya lakukan secara munasabah untuk mengesahkan perkara ini dengan lebih lanjut?
"Sehingga hari ini, tiada sesiapa yang diberi mandat rasmi oleh Kerajaan Arab Saudi telah menyangkal fakta ini dan saya bergantung kepada semua elemen ini dengan niat baik," Najib mengulangi.
Pada 30 Okt, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Najib membela diri atas kesemua 25 pertuduhan, selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie pada akhir kesnya.
Perbicaraan bersambung 6 Jan depan.