Ahli Majlis Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi, mempersoalkan pendirian ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, yang tidak menyokong cadangan untuk membuat laporan polis terhadap bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, berhubung isu penyerahan kedaulatan Batu Puteh kepada Singapura.
Dalam kenyataan hari ini, Puad menyatakan rasa tidak setujunya dengan pandangan ahli parlimen PKR itu yang mempertahankan Mahathir atas alasan jasa besar bekas pemimpin itu kepada negara.
“Alasannya jasa Tun M terlalu besar. Dia buat Putrajaya dan dia buat lebuh raya yang diguna oleh semua MP (ahli parlimen) untuk balik ke Perlis dan Johor.
“Apakah Tunku Abdul Rahman tidak ada jasa? Tetapi Tun Mahathir yang paling kuat menuduh Tunku Abdul Rahman telah menjual kedaulatan Singapura kepada Lee Kuan Yew.
“Itu apa cerita,” soalnya dalam satu hantaran di media sosial.
Terdahulu, Hassan dalam perbahasan di Dewan Rakyat, semalam menolak cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk melaporkan Mahathir kepada polis.
Katanya, walaupun dirinya bukan penyokong bekas perdana menteri sebanyak dua kali itu, namun, dia merasakan tindakan itu tidak wajar terhadap seorang pemimpin negara yang hampir berusia 100 tahun dan kerap keluar masuk Institut Jantung Negara (IJN).
"Saya bukan peminat Tun Mahathir; sejak muda lagi saya pengkritiknya. Namun, kita perlu berlaku adil," katanya.
Hassan turut mengingatkan ahli Parlimen lain mengenai sumbangan besar Mahathir kepada pembangunan negara.
"Siapa yang membina Putrajaya? Selepas berbahas, ramai yang akan pulang ke Kangar atau Johor Bahru. Siapa yang membina lebuh raya yang kita gunakan?" soalnya.
Senada dengan Puad, adalah Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Ammar Atan.
Katanya, tindakan untuk melaporkan Mahathir kepada polis bukanlah bersifat politik, tetapi demi keadilan dan mempertahankan kedaulatan negara.
"Ini tidak bermakna kita menafikan sumbangan Dr. Mahathir. Tetapi tiada individu yang boleh mengelak daripada bertanggungjawab atas tindakannya.
"Melindungi kedaulatan negara adalah lebih penting daripada kesetiaan kepada mana-mana individu," katanya dalam satu kenyataan.
Isu itu terus menjadi perdebatan hangat dalam kalangan pemimpin politik, mencerminkan kepekaan rakyat terhadap soal kedaulatan negara dan keadilan.