Isu politik dan perkauman tidak seharusnya dikaitkan dalam usaha kerajaan mempromosikan industri pelancongan sebaliknya memberi tumpuan untuk merancakkan ekonomi negara.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata kementeriannya berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan jumlah pelancong tidak kira daripada negara mana, namun usaha itu mendapat tentangan kerana dilihat mengutamakan pelancong China.
Beliau menyuarakan kerisauan isu politik dan perkauman yang dimainkan segelintir pihak terutama terhadap pelancong China, akan merencatkan usaha kerajaan dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi.
Beliau menegaskan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) tidak mahu campur politik dan agama dalam usaha menarik pelancong, sebaliknya fokus lebih kepada mewujudkan peluang perniagaan kepada rakyat dan memacu ekonomi negara.
"Nasihat kepada semua untuk bekerjasama (menarik pelancong). Bukan sahaja Malaysia (tarik pelancong China) tapi Arab Saudi juga agresif berkempen di China minta mereka datang (ke Arab Saudi), sebab mereka (China) adalah biggest market dan spenders," katanya pada sidang media baru-baru ini.
Tiong berkata kehadiran pelancong China tidak dinafikan akan memberi impak kepada ekonomi negara, malah membawa limpahan manfaat kepada peniaga termasuk peniaga kecil khusus di kawasan pedalaman.
Beliau berkata untuk bersaing dengan negara jiran seperti Thailand yang lebih menarik kepada pelancong, semua pihak harus beri fokus kepada langkah menjadikan Malaysia sebagai destinasi menarik dan bukannya mengutuk pelancong terutama dari China.
"Apa yang penting untuk kita ialah mengembangkan ekonomi. Jangan semua perkara berkait dengan politik dan perkauman, kalau tidak memang tidak akan berjaya dalam (capai) visi Tahun Melawat Malaysia 2026 dan ASEAN 2025," katanya.
Tiong berkata ketibaan pelancong bagi tempoh Januari hingga November tahun ini ialah 34.2 juta orang merangkumi 22.5 juta pelancong, manakala 11.7 juta pelawat dan prestasi itu telah melepasti tahap prapandemik.
Beliau sekali lagi menegaskan tiada salah dalam mempromosi dwibahasa dalam papan tanda perniagaan, namun setuju undang-undang perlu dipatuhi semua, tetapi cara penguatkuasaan itu dianggap memberi tanggapan buruk kepada penduduk setempat dan pelancong.
Tiong berkata pihak berkuasa seharusnya membuat sesi libat urus dengan pemilik perniagaan dan menghantar notis agar patuh kepada peraturan dan bukannya mencabut papan tanda yang dilihat tidak sesuai.
Sementara itu, Tiong menasihati bekas ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar agar tidak menggunakan platform podcast untuk memainkan sentimen politik berhubung isu papan tanda.
"Sebelum ini, beliau (Khairy) juga seorang menteri dan sebahagian daripada kerajaan. Jika ada perkara yang beliau benar-benar tidak puas hati, datanglah berjumpa dengan saya dan kita boleh berbincang. Jika tidak, berilah cadangan yang lebih membina dan berguna untuk negara," katanya.
- Bernama