Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kredibiliti AGC bertambah rosak, dakwa Muda
Diterbitkan:  Dec 13, 2024 10:10 AM
Dikemaskini: 2:10 AM

Muda menganggap kredibiliti Jabatan Peguam Negara (AGC) kini berada pada tahap yang paling rendah ekoran langkah mereka menarik balik rayuan terhadap kes melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, semalam.

Kata parti itu, cara kes melibatkan Ahmad Zahid diuruskan semakin menguatkan tanggapan ramai bahawa AGC menjadi alat politik pihak pennguasa.

Persepsi orang ramai, dakwa Muda, melihat badan itu menyasarkan pihak yang tidak sehaluan dengan kerajaan manakala pihak yang satu lagi diberikan layanan istimewa.

Ketika orang biasa dihukum berat, dakwa Muda lagi, pemimpin berprofil tinggi seperti Ahmad Zahid dibebaskan tanpa perlu membela diri.

"Keputusan ini (semalam) menambah kerosakan kepada kredibiliti AGC yang kini berada pada titik terendah.

"Jabatan yang sepatutnya bertindak bebas kini dipersoal kerana terlalu akur kepada tekanan politik," dakwa parti itu.

Semalam keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang melepas serta membebaskan Ahmad Zahid berhubung kes rasuah terkait visa luar negara dikekalkan Mahkamah Rayuan di Putrajaya.

Keputusan itu diambil selepas AGC menarik balik rayuan yang dikemukakan mereka sebelum ini. Dalam prosiding di hadapan tiga hakim semalam, pihak pendakwaan menjelaskan AGC mengambil kira representasi dikemukakan Ahmad Zahid.

Pasukan pendakwa juga berpendapat ada asas mengikut undang-undang dan fakta kukuh untuk membiarkan keputusan mahkamah terdahulu tidak terganggu.

Kata Muda orang awam juga mahu tahu mengapa kes melibatkan Ahmad Zahid diteruskan di mahkamah apabila AGC kemudian menerima representasi Presiden Umno itu.

Menurut Muda, langkah AGC menunjukkan menunjukkan wujud kelemahan serius dalam sistem keadilan.

"AGC menyatakan tiada keterangan kukuh walhal sebelum ini 40 pertuduhan dibawa ke mahkamah.

"Jika keterangan tidak mencukupi, mengapa dia didakwa?" katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS