Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS Terengganu tak ada maklumat punca Samsuri letak jawatan
Diterbitkan:  Dec 13, 2024 9:17 AM
Dikemaskini: 1:17 AM

Latar belakang peletakan jawatan Ahmad Samsuri Mokhtar dalam PN terus menjadi 'misteri' apabila PAS Terengganu sendiri tidak mempunyai maklumat mengenainya.

Seorang pemimpin PAS Terengganu malah memberitahu media, dia sendiri mengetahui peletakan tersebut melalui WhatsApp.

Kata Penolong Setiausaha PAS Terengganu, Hanafiah Mat, kepemimpinan parti di peringkat negeri langsung tidak tahu apa yang mendorong Ahmad Samsuri melepaskan Bendahari Agung PN.

"Tak boleh nak komen langsung sebab kita (PAS Terengganu) tak tahu. Tahu pun dari WhatsApp.

"Sememangnya tak ada maklumat langsung tentang peletakan jawatan tersebut," katanya yang juga Adun Chukai kepada Sinar Online.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu mengumumkan peletakan jawatan dalam PN pada Rabu. Setakat ini belum diketahui punca dia mengambil pendirian tersebut.

Bagaimanapun langkah bekas setiausaha politik Abdul Hadi Awang itu menarik perhatian ramai kerana dibuat sehari selepas PN mengesahkan pelantikan Azmin Ali sebagai setiausaha agung mereka.

Pelantikan tersebut diputuskan ketika ada cadangan daripada PAS agar setiausaha agung mereka, Takiyuddin Hassan, dipilih mengisi kekosongan yang ditinggalkan Hamzah Zainudin.

Semalam ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, meminta PAS bertenang dan tidak mengambil keputusan terburu-buru ekoran terpinggirnya Takiyuddin daripada jawatan yang dicadangkan parti terbabit.

Untuk rekod, selain isu pelantikan setiausaha agung, hubungan PAS dan Bersatu juga dilihat agak kurang sehaluan berhubung isu calon perdana menteri gabungan terbabit menjelang PRU akan datang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS