Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dana Ihsan Madani dapat sumbangan RM5 juta
Diterbitkan:  Dec 13, 2024 8:34 AM
Dikemaskini: 12:34 AM

Maxis, Astro, Bumi Armada dan Measat semalam secara kolektif menyumbang RM5 kepada Dana Ihsan Madani bagi menyokong usaha bantuan serta pemulihan banjir yang sedang giat dilaksanakan kerajaan.

Perkara itu dikongsikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di laman Facebook.

"Setiap organisasi memainkan peranan penting membantu komuniti-komuniti yang terjejas melalui pelbagai inisiatif kemanusiaan.

"Moga sumbangan ini meringankan beban ditanggung pihak yang terjejas sewaktu dilanda musibah banjir ini, insya-Allah," katanya.

Sementara itu, kenyataan bersama keempat-empat organisasi terbabit memaklumkan sumbangan tersebut disampaikan kepada Anwar oleh Pengerusi Astro Malaysia Bhd, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz, Pengerusi Bumi Armada Raja Arshad Raja Tun Uda, pengerusi sementara Maxis Hamidah Naziadin, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Goh Seow Eng dan Pengarah Measat Shaharul Rezza Hassan.

Menurut kenyataan itu, Maxis menyumbang sebanyak RM2 juta manakala Astro, Bumi Armada dan Measat masing-masing menyumbang RM1 juta.

"Sumbangan tunai secara kolektif itu adalah bagi membantu mangsa susulan kesan ketara banjir baru-baru ini di beberapa negeri di seluruh Malaysia terutama di wilayah Pantai Timur.

"Selain itu, setiap organisasi telah memainkan peranan dalam membantu komuniti terjejas menerusi pelbagai inisiatif kemanusiaan," katanya.

Selain itu, organisasi berkenaan memaklumkan, Maxis mengagihkan sejumlah 4,000 kad SIM mudah alih dan tambah nilai di pusat pemindahan sementara (PPS), menyediakan bekalan barang keperluan kepada 1,000 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang terjejas akibat banjir selain bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa membabitkan amaran banjir serta respons.

"Maxis dan Measat komited memastikan ketersambungan yang boleh diharapkan di kawasan banjir dengan menyediakan sambungan wifi percuma, mudah alih dan jalur lebar satelit di PPS serta kawasan terjejas selain bagi operasi menyelamat," katanya.

Kenyataan itu memaklumkan Astro secara aktif menunjukkan komitmen dalam membantu komuniti terjejas banjir baru-baru ini melalui usaha di bawah Tabung Bantuan Yayasan Astro Kasih.

Sumbangan orang awam dan pihak korporat turut digerakkan untuk membantu mereka yang memerlukan dengan mengumpul bekalan seperti makanan kering dan barang keperluan rumah.

"Selain itu, mangsa banjir yang layak akan mendapat gantian Astro Box secara percuma. Sukarelawan Astro juga bersedia membantu dalam usaha pembersihan dan pemulihan," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS