Paling Popular
Terkini

Usul mengenai Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan selesai dibahaskan di Dewan Rakyat tanpa sebarang keputusan dibuat.

Sebaliknya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, semasa ucapan penggulungan memohon agar sidang Dewan Rakyat ditangguhkan.

"Mengambil kira semua yang saya dengar, sebagai Menteri yang bertanggungjawab, mengikut Peraturan Mesyuarat 12 (1) tanpa menghiraukan usul yang terdahulu saya mohon mencadangkan mesyuarat hari ini ditangguhkan.

"Selepas itu majlis mesyuarat ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang ditetapkan," katanya.

Hari ini merupakan hari terakhir sidang Dewan Rakyat dengan sidang berikutnya dijadualkan bermula pada 26 Feb tahun depan. Bagaimanapun, tiada tarikh ditetapkan untuk usul itu dibangkitkan semula.

Usul kerajaan itu antara lain meminta Dewan Rakyat “mengesa semua pihak bekerjasama dan menyokong kerajaan, supaya dapatan dan syor suruhanjaya dalam laporan itu dapat disahkan dan diluluskan, serta membolehkan tindakan menyeluruh dibuat oleh pihak yang terlibat untuk menangani kelemahan yang telah dikenal pasti dan memastikan kedaulatan negara terus terpelihara”.

Seramai 10 ahli parlimen menyertai perbahasan mengenai laporan itu selepas Azalina membentangkan usul itu.

Pada 5 Dis lalu, RCI berkenaan mengesyorkan siasatan jenayah dimulakan terhadap bekas perdana menteri Mahathir Mohamad.

Dalam laporan - yang dinyahklasifikasikan di parlimen - RCI tersebut mendakwa Mahathir menipu kabinet pada tahun 2018 untuk menarik semula semakan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menganugerahkan pulau Batu Puteh kepada Singapura.

Menurut RCI, Mahathir telah membuat keputusan sepihak untuk menghentikan semakan tersebut tanpa persetujuan kabinet, dan hanya memberi taklimat kepada mereka tentang sebab dia berbuat demikian.

Sebelum Azalina membentangkan usul itu, Ketua Whip Pembangkang Takiyyuddin Hassan menimbulkan isu mengenai 47 muka surat yang dipadam daripada laporan RCI berkenaan, dengan menyifatkan ia tidak sepatutnya dibahaskan kerana “dokumen yang cacat”.

Menjawab perkara itu dalam ucapan penggulungannya, Azalina berkata sebahagian penemuan RCI sekiranya didedahkan kepada umum akan menjejaskan aspek keselamatan negara atau operasinya di mana maklumat tertentu yang dihitamkan dalam laporan itu bersifat sensitif termasuk membabitkan pertahanan, perisikan dan perkara strategik lain.

"Dari segi sensitif diplomatik pula, kawasan pengairan Batu Puteh adalah wilayah yang masih menjadi pertikaian antara Malaysia dan Singapura.

"Selain itu terdapat kandungan laporan ini mengandungi maklumat sensitif berkaitan rundingan yang sedang berjalan serta butiran perbincangan kedua-dua negara yang boleh menjejaskan hubungan berterusan atau rundingan masa depan," katanya.

Seramai 10 ahli parlimen menyertai perbahasan itu, dengan lima ahli parlimen daripada kerajaan dan lima lagi daripada pembangkang.

Daripada lima ahli parlimen kerajaan yang mengambil bahagian dalam perbahasan itu, hanya tiga menyokong atau menyokong penuh usul berkenaan manakala dua lagi Ahli Parlimen, Willie Mongin (Puncak Bornoe) dan Hassan Karim (Pasir Gudang) menentang usul itu.

Kedua-dua ahli parlimen itu berpendapat ia boleh menjadi duluan berbahaya jika usul itu meminta parlimen menghukum bekas perdana menteri itu untuk keputusan yang bukan dibuat berseorangan.

"Bila disyorkan buat laporan polis, ambil tindakan jenayah kepada Dr Mahathir dengan berusia hampir 100 tahun, keluar masuk IJN (Institut Jantung Negara).

"Sanggupkah kita buat ini kepada bekas perdana menteri kita? Tan Sri (Speaker) pun tahu saya bukan pentaasub Dr Mahathir, saya ialah pengkritik sejak saya muda lagi, pengkritik yang tegas tapi hendaklah kita berlaku adil," kata Hassan disambut sorakan daripada ahli parlimen pembangkang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS