Sebanyak 47 muka surat yang dipadamkan atau digelapkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dibuat bagi menjaga kemaslahan politik dan keselamatan negara.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul ketika memulakan sesi perbahasan laporan terbabit juga memaklumkan perkara tersebut telah disahkan oleh Menteri Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said.
“Saya telah pun menerima laporan ini lebih awal dan telah panggil menteri untuk dapatkan penjelasan dan oleh kerana kita ada Peraturan Mesyuarat 27(3) usul-usul menteri dan saya juga tanyakan juga menteri muka surat yang dihitamkan ini ia melibatkan kedaulatan dan sensitiviti, ia melibatkan benda-benda yang mungkin yang berhormat boleh bertanyakan dalam Dewan tetapi ia tidak dicetak.
“Jadi untuk menjaga kemasalahan politik dan juga masalah keselamatan negara dan untuk itu yang berhormat boleh bertanya menteri, tidak ada masalah dan saya benarkan.
“Cumanya ia tidak dibuat dalam bentuk hitam putih. Itu saja,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, sebelum pembentangan laporan itu, Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) meminta penjelasan daripada Johari mengenai buku laporan setebal 217 muka surat itu dengan menyatakan sebanyak 47 muka surat dipadamkan.
Takiyuddin semasa ucapannya mendakwa, laporan itu adalah cacat disebabkan beberapa muka surat itu dipadamkan.
“Saya nak dapatkan petua daripada yang dipertua, bagi saya laporan RCI ini adalah satu laporan yang boleh dianggap cacat, macam mana ni?
“Kita nak rujuk apa ni? Apa yang kita nak rujuk? Saya boleh bagi contoh satu untuk menteri jawab.
“Muka surat 197, syor-syor suruhanjaya dalam laporan ini boleh diringkaskan seperti berikut. Muka surat seterusnya tidak ada apa, gelap.
“Syor apa ini? Laporan apa, syor apa yang nak dibincangkan? 47 daripada 217 muka surat didapati dipadamkan,” katanya.
Takiyuddin turut mempersoalkan adakah laporan RCI Batu Puteh ini layak untuk dibahaskan.
“Adakah ini satu laporan yang layak untuk dibawa dan dibahaskan di Dewan Rakyat ini? Saya mohon penjelasan? Saya rasa Speaker maklum akan perkara ini? Jadi saya minta penjelasan terlebih dahulu sebelum ia dibahaskan. Ini mungkin (Peraturan Mesyuarat) 36(12) mengelirukan,” katanya.
Kelmarin bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mempersoal ketelusan Suruhajaya Siasatan Diraja (RCI) yang didakwanya menyembunyikan 47 muka surat laporan berkaitan Pulau Batu Puteh.
Mahathir menyifatkan terdapat kecacatan dalam laporan RCI berhubung siasatan kes itu yang kini dedahkan kepada orang ramai.
Pada 5 Disember lalu, RCI Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Mahathir.
Dalam laporan - yang dinyahklasifikasikan di parlimen - RCI menuduh Mahathir menipu kabinet pada tahun 2018 untuk menarik semula semakan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menganugerahkan kedaulatan Batu Puteh kepada Singapura.
Menurut RCI, Mahathir membuat keputusan sepihak untuk menghentikan semakan tersebut tanpa persetujuan kabinet, dan hanya memberi taklimat kepada mereka tentang sebab dia berbuat demikian.