Najib Razak menafikan menunjukkan Tong Kooi Ong pintu keluar di kediamannya apabila pengerusi The Edge itu cuba memberi amaran kepada bekas perdana menteri itu mengenai salah laku dalam 1MDB.
Najib memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang tadi bahawa dia sebaliknya membukakan pintu kepada pemilik akhbar perniagaan tersebut di kediamannya di Langgak Duta, Kuala Lumpur, pada Mac 2015 ‘sebagai tanda beradab’.
Bekas menteri kewangan itu mengakui kunjungan Tong adalah untuk menyuarakan kebimbangan mengenai 1MDB dan dia atas dasar beradab, membukakan pintu untuk ahli perniagaan itu keluar kerana dia kelihatan "letih".
“Saya ingin menjelaskan bahawa ini adalah tingkah laku, atau dalam bahasa Melayu, adab atau budi pekerti seseorang. Ia berakar pada cara budaya kita melakukan sesuatu.
“Saya dengan tegas menyatakan, apabila orang seperti penduduk kampung dari kawasan saya (ketika itu Pekan) datang ke rumah saya, saya akan mengiringi mereka hingga ke pintu.
“Itu adalah adab saya. Rakyat Malaysia secara umumnya akan memahami perkara ini. Saya mengiringi beliau (Tong) ke pintu. Saya lakukan ini kepada semua orang,” kata Najib kepada hakim perbicaraan, Collin Lawrence Sequerah.
Semasa prosiding perbicaraan sebelum ini dalam kes penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram 1MDB berjumlah RM2.27 bilion yang dihadapi Najib, Tong memberi keterangan bahawa bekas perdana menteri itu tidak berkata sepatah pun ketika membuka pintu untuk dia meninggalkan kediaman tersebut pada 2015.
Perbicaraan bersambung esok.
Pada 30 Oktober, mahkamah memerintahkan Najib untuk membela diri terhadap empat tuduhan salah guna kuasa dan 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana RM2.27 bilion daripada 1MDB.
Hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib berhubung syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).
Hakim mendapati Najib perlu menjawab tuduhan itu berdasarkan pelbagai keterangan daripada 50 saksi semasa peringkat pendakwaan yang berlangsung selama enam tahun sejak perbicaraan bermula pada 2019. Tertuduh pertama kali didakwa pada 2018.
Najib kini menjalani hukuman penjara enam tahun dalam kes berasingan melibatkan penyalahgunaan kuasa berkaitan dana RM42 juta daripada SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.
Peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin mewakili Najib.
Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar pula mengetuai pihak pendakwaan.