Bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa isu pengkhianatan terhadap negara tidak timbul dalam kes Pulau Batu Puteh.
Sebaliknya, presiden Bersatu itu berkata, keputusan menggugurkan rayuan terhadap tuntutan pulau tersebut pada 2018 dibuat berdasarkan prinsip tanggungjawab kolektif kabinet.
“Tidak timbul soal perdana menteri mesti mengambil tanggungjawab secara peribadi atas keputusan yang dibuat oleh kabinet. Ia adalah tanggungjawab bersama.
“Soal pengkhianatan kepada negara juga tidak timbul. Malah, adalah tidak wajar seorang bekas perdana menteri dihadapkan ke muka pengadilan semata-mata atas keputusan kerajaan yang disahkan oleh kabinet semasa pentadbirannya dahulu.
“Jika ini berlaku, ia adalah satu duluan yang buruk (bad precedent) untuk negara,” kata Muhyiddin ketika mengulas kenyataan beberapa pihak yang mendakwa Dr Mahathir Mohamad bertindak sendirian dalam kes itu.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini menyifatkan penemuan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah, dan Tubir Selatan sebagai pendedahan kelemahan besar, yang dari sudut tertentu, boleh dianggap sebagai pengkhianatan terhadap negara.
Katanya, RCI itu mendedahkan kelemahan, bahkan daripada satu sudut, pengkhianatan yang berlaku kerana setiap inci tanah yang sepatutnya diperjuangkan habis-habisan.
Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga adalah pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, bahawa keputusan yang dibuat dalam mesyuarat kabinet menjadi tanggungjawab bersama semua anggotanya yang mempunyai peluang untuk menyuarakan pandangan mereka.
Malah, katanya bahawa tidak ada yang membantah keputusan itu.
Sebelum ini, Dr Mahathir mempertahankan keputusannya sebagai perdana menteri ketika itu untuk menarik balik permohonan bagi membatalkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menyerahkan Pulau Batu Puteh kepada Singapura.
Katanya, isu berkenaan telah dimaklumkandan dipersetujui oleh semua anggota kabinet, termasuk Dr Wan Azizah Wan Ismail, Mohamad Sabu, dan Anthony Loke.
Mahathir menegaskan bahawa keputusan tersebut diminitkan dalam mesyuarat kabinet dan semua anggota yang hadir tidak menyatakan bantahan.
Bagaimanapun, dalam kenyataan bersama, Dr Wan Azizah, Mohamad, dan Loke mendakwa bahawa Mahathir membuat keputusan tersebut secara unilateral.
Menurut mereka, keputusan untuk menggugurkan rayuan dibuat pada 21 Mei 2018 sebelum kabinet pertama bersidang pada 23 Mei.
Mereka menjelaskan bahawa Mahathir hanya memaklumkan keputusan itu kepada kabinet di bawah agenda "hal-hal Lain" tanpa membuka ruang untuk perbincangan atau pertimbangan semula.
Isu itu kembali hangat susulan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang menyatakan bahawa Malaysia berpotensi untuk memenangi kes Batu Puteh jika rayuan tidak ditarik balik. RCI juga mendakwa Mahathir membuat keputusan tanpa mendapatkan pandangan kabinet.