Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KBS akan rangka kod etika pemakaian guna Jalur Gemilang

Kementerian Belia dan Sukan akan merangka kod etika membabitkan penggunaan Jalur Gemilang pada pakaian atlet.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata pengenalan kod etika itu susulan isu terbaru melibatkan penggunaan Jalur Gemilang pada jersi pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia.

“Setakat ini kita tidak ada kod atau tatertib yang kita boleh pakai berkenaan isu itu.

“Saya akan minta Majlis Sukan Negara (MSN) lihat apa yang kita boleh lakukan untuk pastikan perkara ini tidak berlaku,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Simposium Sukan Selamat Antarabangsa di Petaling Jaya, hari ini.

Semalam, pemain di ranking kelapan dunia itu terpalit kontroversi apabila jersi yang disarungnya ketika berdepan Chou Tien Chen dari Taiwan pada Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) memaparkan Jalur Gemilang dalam keadaan terbalik.

Susulan insiden itu, penaja jersi pemain berkenaan, Victor, telah mengeluarkan kenyataan permohonan maaf dan akan menyiasat perkara berkenaan.

Pada masa sama, Hannah menggesa setiap atlet dan pengurus pasukan untuk sentiasa peka dengan perkara membabitkan penggunaan Jalur Gemilang kerana ia adalah maruah negara yang patut dijaga.

“Saya nak minta semua atlet dan juga pengurus setiap pasukan termasuklah yang bergerak sendiri atau pasukan kebangsaan semak betul-betul jersi dan pastikan semua teratur sebelum mereka keluar ke gelanggang.

“Ini kerana apabila mereka beraksi, ia akan disiarkan kepada penonton dalam dan luar negara,” katanya yang menerima permohonan maaf dari Victor.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Kementerian Belia dan Sukan akan memperkasakan lagi Kod Sukan Selamat pada tahun hadapan.

“KBS akan memastikan kita ada lebih banyak lagi pegawai undang-undang yang boleh menasihati jawatankuasa dan bantu pegawai pelindung kita,” katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS