PARLIMEN | Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah mengambil beberapa langkah bagi mempercepatkan proses tuntutan nafkah di mahkamah.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan berkata, ini termasuk memperkukuhkan prosedur penguatkuasaan perintah, menyelaraskan punca kuasa bailif dan mengarahkan amalan manual kerja di seluruh mahkamah syariah Malaysia.
“Ada beberapa langkah untuk mempercepatkan tuntutan nafkah dan memperkukuhkan prosedur, antaranya adalah keseragaman dilaksanakan dari sudut punca kuasa sebagai pegawai yang dilantik untuk membuat penguatkuasaan perintah.
“JKSM juga telah keluarkan arahan amalan berkaitan manual kerja dan juga arahan amalan garis panduan pengurusan tuntutan saman penghutang penghakiman yang diendorsekan ke seluruh mahkamah Malaysia,” katanya sewaktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Zulkifli berkata demikian mengulas pertanyaan tambahan Dr Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) berhubung langkah yang diambil JKSM bagi mempercepatkan proses tuntutan di mahkamah, yang mengambil masa lama selain adakalanya disalahgunakan bagi memanjangkan kes tuntutan nafkah.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata JKSM juga telah menempatkan pegawainya di seluruh negara.
“Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) ini juga berada di seluruh Malaysia dan pegawainya ada lebih kurang 90 orang dan dilatih serta diberikan kursus kemahiran agar mereka dapat melaksana dan mempercepatkan kes ini,” katanya.
Selain itu, mengulas berkenaan dana khusus bagi membantu isteri dan anak-anak yang sepatutnya menerima nafkah mencukupi, Zulkifli berkata pihaknya telah menerima dana sebanyak RM200,000.
“Atas usaha JKSM kita telah berjaya mendapatkan dana RM200,000 daripada Yayasan Amanah Raya menerusi wakalah zakat dan usaha untuk dana ini akan diteruskan bagi memastikan semuanya dapat diselesaikan dan yang paling penting bagi membantu isteri dan anak-anak yang sepatutnya menerima nafkah secukupnya,” katanya.
Terdahulu, Zulkifli berkata BSK telah berjaya melaksanakan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah Mahkamah Syariah yang dikeluarkan sejak ditubuhkan pada 2008.
“Pada tahun 2021 sebanyak 872 kes berjaya diselesaikan atau 55 peratus daripada 1,571 kes yang berdaftar. Pada tahun 2022 sebanyak 1,096 berjaya diselesaikan atau 68 peratus daripada 1,600 kes yang didaftarkan dan pada tahun 2023 sebanyak 1,102 kes berjaya diselesaikan atau 59 peratus daripada 1,844 kes yang didaftarkan
“Pada Januari hingga November 2024, 1,076 kes berjaya diselesaikan iaitu 58 peratus,” tambahnya.