PARLIMEN l Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia 2024, bertujuan menubuhkan badan kawal selia kendiri demi menjaga kepentingan media dan pengamal media, dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.
RUU tersebut dibentangkan oleh Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching yang memaklumkan bacaan kali kedua akan dibuat pada mesyuarat akan datang.
Fasal 15 RUU ini bertujuan menyediakan peruntukan berkaitan mekanisme kawal selia yang melibatkan aduan ketidakpuasan hati, yang hendaklah dirangka dan diterima pakai oleh Majlis dari semasa ke semasa sebagaimana yang ditentukan dalam mesyuarat agung.
Fasal 16 pula memperuntukkan kuasa tatatertib Majlis terhadap ahlinya, termasuk mewujudkan kesalahan tatatertib, menetapkan hukuman yang bersesuaian, serta menentukan tatacara prosiding tatatertib sebagaimana yang ditetapkan dalam mesyuarat agung.
Selain itu, Fasal 8 RUU berkenaan mencadangkan peruntukan bagi penubuhan dan keanggotaan Lembaga Majlis, dengan pelantikan dua anggota yang dinamakan oleh Menteri untuk mewakili kerajaan, selain anggota yang dilantik itu hendaklah dalam kalangan individu yang terlibat dalam industri media.
Dalam pada itu, Fasal 9 memperuntukkan Pengerusi Majlis hendaklah bukan seorang anggota mana-mana badan perundangan atau mana-mana orang yang terlibat secara aktif dalam politik atau berdaftar dengan mana-mana parti politik atau mana-mana anggota perkhidmatan awam.
Fasal itu juga memperuntukkan seorang Timbalan Pengerusi yang hendaklah dilantik oleh Ahli Lembaga dalam kalangan mereka untuk melaksanakan fungsi Pengerusi, jika Pengerusi tidak dapat melaksanakan fungsinya atas apa-apa sebab atau dalam apa-apa tempoh kekosongan jawatan itu.
Berkaitan peruntukan kewangan, Fasal 17 RUU itu mencadangkan Majlis hanya boleh menerima dana asing tanpa syarat daripada mana-mana individu atau pertubuhan luar negara, hanya bagi maksud untuk menggalakkan kesedaran dan memberikan pendidikan berhubung dengan industri media dan ia tertakluk kepada kelulusan Menteri.
Jadual Kedua RUU itu mencadangkan mesyuarat agung pertama Majlis hendaklah diadakan dalam tempoh enam bulan daripada tarikh pelantikan anggota lembaga pengasas.
Bagi mesyuarat agung luar biasa, ia boleh diadakan pada bila-bila masa oleh Majlis dan hendaklah diadakan atas permintaan tidak kurang daripada satu per lima daripada jumlah keahlian.
- Bernama