Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RM20 juta buat Umno bantu mangsa banjir di Kelantan, kata Najib

BICARA 1MDB l Bekas presiden Umno, Najib Razak, mendakwa bahawa dia menulis cek bernilai RM20 juta kepada parti politik itu untuk membantu rakyat, bukan untuk kepentingan peribadi.

Bekas perdana menteri itu, hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tentang bagaimana dia menggunakan sebahagian daripada dana AS$681 juta yang dipercayainya dimasukkan ke dalam akaunnya pada 2013 daripada kerabat diraja Arab Saudi.

Katanya, dia juga telah memulangkan AS$620 juta daripada sumbangan yang tidak digunakan.

Dalam menangkis dakwaan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan RM2.27 bilion dana 1MDB, bekas menteri kewangan itu merenung kembali sekeping gambar yang dirakamkan pada Disember 2014 ketika dia melawat Kelantan untuk membantu mangsa banjir di sana.

“Gambar ini merakamkan saat yang mengingatkan saya tentang pentingnya hadir ketika waktu krisis dan bekerjasama dengan orang lain untuk meringankan penderitaan rakyat.

“Ia juga menonjolkan ketabahan dan perpaduan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia semasa menghadapi masa-masa sukar seperti ini, kerana saya ingat semua pihak berganding bahu untuk menyokong mereka yang memerlukan.

“Peranan saya, sebagai perdana menteri, yang saya jalankan dengan penuh komitmen dan keprihatinan terhadap rakyat, adalah memastikan kerajaan persekutuan, melalui Umno dan agensi-agensi lain, menyediakan bantuan dan sumber yang diperlukan untuk membantu mangsa pulih dan membina semula kehidupan mereka,” kata Najib.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Najib memaklumkan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini bahawa adalah munasabah untuk beliau mempercayai bahawa wang yang diterima dalam akaun bank peribadi AmIslamik merupakan sumbangan daripada pemerintah Arab Saudi iaitu Almarhum Raja Abdullah bin Abdulaziz Al Saud.

Najib, yang juga bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, berkata di sebuah negara monarki seperti Arab Saudi di mana raja memegang kuasa tertinggi, adalah munasabah untuk beliau mempercayai bahawa Raja Abdullah telah mengarahkan Kementerian Kewangan Riyadh untuk menyalurkan dana bagi pihak baginda sebagai sumbangan.

"Oleh itu, cadangan bahawa kesemua dana ini bukanlah datang secara langsung daripada akaun peribadi Raja Abdullah sebaliknya daripada Kementerian Kewangan Riyadh adalah mengarut kerana pada saya, ia mencerminkan niat dan kekuasaan Raja Abdullah sendiri.

"Selain menerima dana daripada Kementerian Kewangan di Riyadh, saya juga menerima RM311,122,245.94 daripada cucunda lelaki Raja Abdullah iaitu Putera Faisal dan seorang lagi kerabat diraja, Putera Saud bin Abdulaziz Al Saud. Justeru itu, adalah munasabah untuk saya mempercayai bahawa Raja Abdullah telah mengarahkan cucunda baginda untuk menyalurkan sumbangan terbabit melalui akaun baginda," katanya.

Ini adalah hari kesembilan bekas Ahli Parlimen Pekan itu memberi keterangan membela diri terhadap empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Ketika menjawab soalan peguamnya Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, Najib berkata memandangkan wang itu berasal daripada akaun bersama kerabat diraja (Putera Faisal bin Turki bin Bandar Al Saud dan Putera Saud bin Abdulaziz Al Saud), adalah jelas bahawa beliau tidak mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa ia adalah daripada sumber yang tidak sah.

Wan Azwan Aiman: Raja Abdullah adalah pemerintah ketika itu. Boleh anda jelaskan bagaimana sistem pemerintahan beraja Arab Saudi berbeza, jika ada, daripada Malaysia?

Najib: Perbezaan asas dalam sistem pemerintahan di Arab Saudi ialah keseluruhan strukturnya adalah berkisar kepada raja, yang memegang kuasa mutlak. Sebarang keputusan yang dibuat oleh kerajaan perlu mendapat perkenan baginda dan saya percaya tiada siapa yang berani menentang kehendak baginda kerana hukuman di Arab Saudi amat berat.

Bagi pertuduhan ke-11 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram terhadapnya, Najib berkata cek RM20 juta yang dikeluarkan kepada Umno adalah bagi membantu persiapan pentadbiran parti itu dan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).

"Adalah penting ditegaskan bahawa dana ini bukan untuk Najib Razak secara peribadi sebaliknya bertujuan memastikan Umno, sebagai parti politik terbesar di Malaysia, dapat beroperasi dengan berkesan dan menunaikan tanggungjawabnya kepada rakyat.

"Melalui dana yang diterima daripada akaun AmIslamik saya, Umno akan dapat terus menjalankan pelbagai program CSR yang memberi impak, yang sememangnya mereka lakukan, termasuk menyalurkan bantuan semasa banjir teruk di Kelantan pada Disember 2013 serta pelaksanaan penambahbaikan infrastruktur di kawasan luar bandar," katanya.

Pada 30 Okt lepas, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Najib membela diri atas kesemua 25 pertuduhan setelah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Perbicaraan bersambung esok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS