Beberapa jam selepas didakwa membuat keputusan sendiri berhubung tuntutan Malaysia ke atas tiga pulau kecil di selatan negara, Dr Mahathir Mohamad tampil mempersoalkan tiga pemimpin utama PH.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan melalui peguamnya petang ini, Mahathir berkata dia berkata "amat menghairankan" apabila Dr Wan Azizah Wan Ismail, Mohamad Sabu dan Anthony Loke berdiam diri sejak 2018 mengenai isu tuntutan berkenaan
Sedangkan, kata Mahathir, apabila dia memaklumkan keputusan untuk membatalkan proses mahkamah berkaitan pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), semua anggota kabinet - termasuk tiga tokoh terbabit - bersetuju dengannya.
"Amat menghairankan apabila selama ini - semenjak 2018 - mereka semua tidak berkata apa-apa. Tetapi sebaik saja saya maklumkan perkara sebenar, kesemua mereka mengelak dan mengalih (diri) daripada mengambil tanggungjawab," katanya.
Pagi tadi Wan Azizah - yang menjadi timbalan perdana menteri pada 2018 - mengeluarkan kenyataan bersama Mohamad dan Loke untuk mengesahkan Mahathir membuat keputusan sendiri berhubung status pulau Batu Puteh.
Selain mendakwa ia tidak dibincangkan, ketiga-tiga pemimpin utama PH itu berkata, Mahathir sekadar memaklumkan perkembangan berkenaan di bawah agenda Hal-hal Lain sewaktu mesyuarat pertama kabinet yang diadakan dua hari selepas jemaah menteri dibentuk.
Pada 5 Dis lalu laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang menyiasat isu kedaulatan pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan berpendapat Malaysia berpeluang untuk membatalkan ICJ jika ia tidak dibatalkan oleh Mahathir pada saat-saat akhir.
Kedaulatan ketiga-tiga pulau itu kemudian diserahkan kepada Singapura.
Diam tanda setuju
Menurut Mahathir dia juga hairan dengan alasan diberikan Wan Azizah, Mohamad dan Loke dalam kenyataan pagi tadi.
"Apakah mereka perlu saya beritahu bahawa mereka perlu memberikan pendapat atau pandangan barulah mereka akan berbuat demikian?
"Kedua, jika pandangan saya terhadap isu tersebut salah atau tidak mereka persetujui, mereka tidak akan bangkang atau beri pendapat kerana saya hanya maklumkan?
"Jadinya, maklum itu adalah halangan kepada sebarang perdebatan, pemberian pendapat mahupun menyatakan persetujuan atau sebaliknya," kata Mahathir lagi.
Tambah bekas ahli parlimen Kubang Pasu dan Langkawi itu lagi, setiap anggota kabinet perlu memberi perhatian - dan pandangan jika perlu - terhadap sebarang perkara yang dibangkitkan dalam mesyuarat.
Jika ada pandangan yang ingin disuarakan, kata Mahathir, ia perlu dibuat sewaktu esyuarat tersebut.
"Jika mereka memilih berdiam diri atau tidak menyatakan rasa tidak bersetuju, maka ia diterima sebagai mereka bersetuju dengan apa yang dimaklum atau dibentang," katanya.
Mengulas kenyataan agar Mahathir bertanggungjawab dalam isu tersebut sebagai ketua kerajaan, ahli politik berusia 99 tahun itu berkata, ia tidak timbul.
"Persoalannya adakah mereka mahu memikul tanggungjawab sebagai satu collective responsibility apabila menganggotai kabinet?
"Jika tidak, maka mereka telah tidak melaksanakan amanah yang diberikan kepada mereka semata-mata kerana mereka tidak mahu memberikan pendapat kepada apa yang dimaklumkan kepada mereka di dalam mesyuarat kabinet," katanya.