Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) hari ini mempertahankan tindakan mereka menaikkan caj bagi penyediaan perjanjian pembaharuan lesen pada tahun depan.
Menurut pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, kadar dikenakan sebanyak RM30 sebelum ini kekal tidak disemak semula sejak 2012.
Ketua Bahagian Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Nor Hayatul Huda Othman, menjelaskan pihaknya mengenakan kadar baru itu selepas membuat perbandingan dengan kadar ditetapkan PBT berstatus bandar raya lain.
"Kadar caj perkhidmatan penyediaan perjanjian bagi pembaharuan lesen sewaan gerai atau pasar di bawah kendalian MBK sebanyak RM30 telah dikenakan sejak 2012.
"MBK telah memutuskan kenaikan kadar bermula tahun depan berikutan perubahan keadaan semasa dan setelah meneliti dan membuat perbandingan dengan PBT bertaraf bandar raya yang lain.
"Kenaikan kadar perjanjian ini adalah secara one-off atau sekali bayar untuk setahun saja," katanya melalui satu kiriman WhatsApp kepada Malaysiakini.
Nor Hayatul Huda turut menjelaskan setiap pelesen dimestikan melalui saringan tapisan atau i-Clean iaitu menjelaskan tunggakan seperti cukai taksiran am, kompaun dan tunggakan ke atas perkhidmatan lain di bawah bidang kuasa MBK.
Katanya, dasar dan tindakan itu sudah dilaksanakan MBK sejak Jan 2020 bagi memberi kesedaran kepada masyarakat, terutama warga Kuantan untuk menjelaskan tunggakan yang ada.
"Diharapkan warga Kuantan dapat mematuhi peraturan dan menjelaskan tunggakan bagi melancarkan urusan, seterusnya bersama-sama dalam meningkat pembangunan bandar Kuantan demi kepentingan bersama," ujarnya.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas laporan Malaysiakini semalam mengenai rungutan peniaga di pasar Balok dan Pasar Besar Kuantan yang kesal dengan kenaikan caj perjanjian tanpa dimaklumkan terlebih dahulu kepada mereka.
Ada peniaga yang berisiko tidak dapat meneruskan perniagaan mereka tahun depan berikutan mempunyai tunggakan hampir RM2,500.
Peniaga juga memohon MBK lebih bertimbang rasa dan tidak menyekat mereka daripada menandatangani perjanjian sewaan premis, disebabkan isu mempunyai tunggakan yang tidak berkaitan dengan urusan gerai atau pasar.