PARLIMEN l Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad menjelaskan bahawa aktiviti perlombongan bauksit di Bukit Goh, Kuantan, Pahang, belum menerima kelulusan laporan penilaian impak alam sekitar (EIA).
Semasa Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini, dia berkata bahawa laporan EIA untuk projek tersebut sebelum ini telah ditolak, dan Jabatan Alam Sekitar menerima laporan baharu beberapa bulan lalu.
"Selepas itu, ibu pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS) baru sahaja menerima sekali lagi, cadangan bagi projek berkenaan yang bertajuk 'Proposed Bauxite Mining Operation in Bukit Goh, Kuantan within area of 2,424.73 hectares in Mukim Kuala Kuantan, district of Kuantan, Pahang' pada 24 Sept lepas.
"Penggerak bagi cadangan projek ini ialah BG Mining Sdn Bhd," katanya semasa menjawab soalan Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) yang ingin tahu mengenai kelulusan EIA yang baru diberikan kepada projek perlombongan bauksit di Bukit Goh, Kuantan, pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Bauksit adalah batuan sedimen yang merupakan bijih utama aluminium.
Nik Nazmi turut menjelaskan bahawa kebiasaannya setiap laporan EIA akan dinilai dan dibincang secara terperinci Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIATRC) bersama agensi kerajaan lain serta individu dilantik atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"EIATRC akan pertimbangkan semua ulasan dan syor daripada semua pihak terlibat sebelum keputusan dibuat terhadap laporan EIA yang diterima," katanya.
Menurutnya bagi mempertingkat EIA supaya lebih efektif, kerajaaan menggariskan lima keutamaan dalam hal berkenaan iaitu memperkukuh keperluan perundangan, tadbir urus dalam penilaian EIA, memperkasa prosedur EIA, pendigitalan EIA, pengukuhan libat urus awam dan pemantapan penguatkuasaan EIA
"...kita akan maklum dan akan kemas kini kepada rakyat bagaimana untuk menambah baik EIA bagi menjadikan ia lebih berkesan dalam menjaga kesihatan rakyat," katanya."
Isu perlombongan bauksit haram di Bukit Goh pernah mendapat perhatian sebelum ini.
Pada 15 November lalu, dilaporkan bahawa SPRM telah menyerbu kawasan tersebut, dan menahan tiga individu, termasuk seorang pegawai agensi kerajaan negeri.
Suspek, termasuk dua pemilik syarikat, disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 atas dakwaan meminta dan menerima rasuah yang berkaitan dengan perlindungan aktiviti perlombongan bauksit haram.