Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Letak jawatan PN: Samsuri tunggu masa sesuai untuk ulas

Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar, enggan memberi sebarang bayangan mengenai alasan dia meletakkan jawatan sebagai Bendahari Agung PN.

Sebaliknya dia yang juga Menteri Besar Terengganu memberitahu, kenyataan akan dibuat apabila tiba masa yang sesuai.

Ditemui media di Gebeng dekat Kuantan hari ini, Ahmad Samsuri pantas mengesan pihak wartawan yang cuba mendapatkan penjelasan daripadanya.

"Saya dah tahu tajuk soalan yang awak nak tanya... tapi buat masa ini, hari ini, saya tidak mahu membuat sebarang kenyataan dulu.

"Tunggu masa yang sesuai, nanti (masa sesuai) saya akan buat kenyataan," katanya sebelum meninggalkan majlis.

Terdahulu Ahmad Samsuri menghadiri perasmian dan penyerahan projek paip agihan air dari Kemaman ke Gebeng. Turut hadir Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail.

Semalam, Ahmad Samsuri melepaskan jawatan sebagai Bendahari Agung PN dan pengumuman itu dibuat menerusi satu kenyataan ringkas kepada barisan kepimpinan PAS Pusat.

Dalam kenyataan tersebut, Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata, dia telah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada pengurusan PN.

Peletakan jawatan itu dibuat hanya dua hari selepas Majlis Tertinggi PN bermesyuarat untuk mengesahkan pelantikan enam jawatan penting parti berkenaan iaitu setiausaha agung, ketua wanita, ketua penerangan dan ahli majlis tertinggi gabungan itu.

Mesyuarat itu menyaksikan Bersatu mengekalkan kesemua enam jawatan utama dalam gabungan PN.

Keputusan itu diambil di sebalik permintaan daripada PAS agar jawatan setiausaha agung diberikan kepada Takiyuddin Hassan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS