Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'K'jaan pusat tak boleh cuci tangan kes keracunan kromium di Kelantan'
1

Kerajaan persekutuan dikecam atas dakwaan penglibatannya dalam insiden keracunan kromium yang disyaki melibatkan masyarakat Temiar di Kampung Kelaik, Gua Musang, Kelantan.

Ini susulan laporan Malaysiakini yang mendedahkan paras kromium yang tinggi, logam berat bersifat karsinogenik, dalam darah salah seorang daripada enam penduduk kampung yang menjalani ujian.

Selama lebih sedekad, masyarakat tersebut telah membantah aktiviti perlombongan bijih besi di tanah adat mereka, dengan memberi amaran tentang kemusnahan alam sekitar dan risiko kesihatan. Namun aduan mereka tidak dihiraukan, kata penyelaras Biro Alam Sekitar, Krisis Iklim & Orang Asli PSM, Suresh Balasubramaniam.

uresh Balasubramaniam

Seorang doktor perubatan yang memeriksa penduduk kampung itu berkata, luka kulit yang dialami mereka adalah akibat dermatitis yang mungkin berpunca daripada sentuhan dengan air sungai.

Doktor yang enggan dikenali itu menambah, pesakitnya turut mengadu mengalami kesukaran bernafas dan saraf sehingga sejam selepas keluar dari sungai.

“Masalah ini bukan sahaja berkaitan dengan kelulusan tanah di wilayah adat Orang Asli, di bawah kerajaan negeri.

“Ia juga melibatkan pengeluaran permit perlombongan dan kegagalan mekanisme pemantauan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar di bawah kerajaan persekutuan,” kata Suresh yang membantu penduduk kampung dalam isu ini.

Pada 2015, apabila mayat seorang tokoh masyarakat dihormati, Alang Angah, ditemui terperangkap di antara kayu balak dan semak yang dihanyutkan arus deras semasa banjir kilat, penduduk kampung menuding jari kepada operasi perlombongan di hulu sungai.

Polis yang menyiasat kematian tersebut kemudian menutup kes itu tanpa sebarang pertuduhan.

Hari ini, keputusan ujian darah itu mencetuskan ketakutan yang lebih besar berbanding ancaman banjir kilat – iaitu kemungkinan bahawa sungai itu sedang meracuni keseluruhan masyarakat berkenaan.


BACA LANJUT: Orang Asli harungi ‘sungai maut’ - melawan lombong bijih di hutan Kelantan


Penduduk termuda yang menjalani ujian itu, Azlan Ahak, 19 tahun, mendapati paras kromium dalam darahnya mempunyai risiko kemungkinan 64,000 kali ganda lebih tinggi daripada biasa untuk menghidap kanser.

Penilai kesihatan kimia Vivien How menekankan bahawa penemuan ini adalah tanda amaran, memerlukan siasatan segera oleh pihak berkuasa berkaitan kerana implikasi kesihatan yang serius.

Setelah meneliti keputusan ujian darah dan sampel air, dia memaklumkan Malaysiakini bahawa terdapat kemungkinan besar pencemaran adalah berkaitan dengan perlombongan, memandangkan paras kromium yang agak tinggi di salah satu titik pelepasan perlombongan.

Apabila ditanya tentang kemungkinan sumber pencemaran lain, How menyatakan bahawa racun perosak yang digunakan dalam ladang berskala besar di sekitar kampung boleh “meresap ke dalam tanah, mencemari air, dan meningkatkan bebanan alam sekitar”.

Ketika dihubungi oleh Malaysiakini, salah satu daripada dua syarikat perlombongan berkenaan, Redstar Capital Sdn Bhd, menyatakan ia tidak melepaskan air buangan ke sungai dan mematuhi semua peraturan.

Namun, Malaysiakini sendiri menyaksikan air mengalir dari kolam perlombongan Redstar Capital ke anak sungai.

Sebuah lagi syarikat perlombongan, Aqua Orion Sdn Bhd, masih belum memberikan maklum balas terhadap pertanyaan yang dikemukakan.

Suresh menuding jari kepada kerajaan persekutuan dan negeri atas kegagalan mereka mencegah keadaan yang disyaki menyebabkan masalah kesihatan kepada masyarakat ini.

Sungai mereka bertukar menjadi merah berkarat apabila aktiviti perlombongan bermula di kampung Orang Asli Temiar pada 2009, dan di sebalik bantahan mereka, sebuah lagi lombong diberikan lesen dan mula beroperasi pada 2015.

Lombong di Bukit Tambun, iaitu di hulu kampung mereka, dikhuatiri menjadi punca pencemaran logam berat memandangkan sungai yang mengalir ke kampung masyarakat tersebut.

“Ini adalah kegagalan tadbir urus di setiap peringkat.

“Masyarakat ini telah berusaha tanpa henti selama bertahun-tahun, dengan segala cara yang mungkin, untuk menyuarakan kebimbangan mereka kepada pelbagai pihak berkuasa tetapi sentiasa diabaikan.

“Walaupun dengan kapasiti, tenaga kerja, dan sumber kewangan yang terhad, mereka terus gigih membawa isu ini kepada perhatian pihak berkuasa,” katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS