Seorang Adun Perak memberikan nasihat kepada pesuruhjaya PAS negeri itu agar lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan dan meningkatkan kemampuan membezakan sesuatu.
Dalam kenyataan medianya, Adun Pasir Bedamar, Wong Kah Leong mengimbau bagaimana sewaktu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, dia cuba menasihatkan Razman Zakaria mengenai beberapa kekeliruan yang dibuat ahli politik terbabit.
Kata Wong, dia masih ingat bagaimana tegasnya Razman mempertahankan setiap kata-kata yang diucapkannya terkait insiden kibaran bendera China di Teluk Intan baru-baru ini.
Menurutnya, Razman perlu sedar kredibilitinya tercalar teruk selepas berkali-kali kalah disaman atau menarik balik kenyataan sendiri kerana membuat kenyataan yang cuai.
"Dalam penggulungan (di DUN Perak), saya bangkitkan bahawa Razman tidak dapat membezakan di antara pesta tanglung dengan perarakan tokong, juga tidak dapat membezakan antara kehadiran dan ketidakhadiran.
"Saya juga sempat mendidiknya tentang lumrah meletakkan gambar YB (wakil rakyat) setempat dalam sepanduk, malah mendidiknya untuk membezakan di antara bendera merah dengan China, dan juga perbezaan maksud antara China dengan Cina," katanya.
Sungguhpun begitu, tambah Wong, Razman tetap enggan memohon maaf.
Namun, katanya, semalam Razman akhirnya apabila mengaku salah kerana mengaitkan Ahli Parlimen Teluk Intan merangkap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, dengan insiden kibaran bendera China di bandar tersebut pada Okt lalu.
Kata Wong, Razman terpaksa meminta maaf kepada Nga mungkin selepas Adun Gunung Semanggol itu menerima surat daripada peguam.
Merujuk kepada kenyataan dibuat Razman semalam, Wong mengingatkan pemimpin PAS itu agar menulisnya dengan betul.
"Sila pastikan nama Nga Kor Ming disebut (dieja) dengan betul. Dahlah tak dapat bezakan banyak benda," katanya.
Semalam Razman yang juga bekas Bendahari Agung PAS Pusat memohon maaf kepada Nga dan mengaku telah membuat dakwaan "langsung tidak berasas" terhadap menteri berkenaan.
"Saya meminta maaf tanpa apa-apa rizab kepada YB Tuan Nga Kor Ming untuk segala penderitaan dan rasa malu yang diakibatkan kepadanya disebabkan dakwaan-dakwaan ini,” kata Razman.
Tuduhan tanpa usul periksa
Dia mengaku terkeliru terhadap dua program berbeza, masing-masing satu dirasmikan oleh Nga pada 13 Sept lalu (Pesta Pertengahan Musim Luruh) dengan kibaran bendera China ketika Pesta Kebudayaan Guan Gong 11 hari kemudian.
Kedua-dua program tersebut diadakan di Teluk Intan.
Bagaimanapun, kenyataan bertulis itu turut menarik perhatian ramai kerana cara Razman menulis nama Nga. Ada ketikanya Razman menulis nama menteri itu sebagai Ngar Kor Meng atau Nga Kor Meng.
Sementara itu Pemuda Amanah Perak pula mengingatkan bahawa walaupun permohonan maaf Razman sudah diterima namun kesan fitnah yang dibuat oleh Ketua Pembangkang DUN Perak itu adalah besar.
Timbalan ketuanya, Ahmad Munzirie Ahmad Kabir, berkata insiden fitnah terkait Razman bukanlah yang pertama kali berlaku dan dia pernah meminta maaf sebelum ini ekoran diancam tindakan undang-undang.
"Pola yang sama masih berulang: membuat tuduhan, menyebarkan kebencian, dan kemudian memohon maaf selepas disaman.
"Sikap ini amat membimbangkan kerana ia mencerminkan kepimpinan yang tidak bertanggungjawab.
"Tindakan memfitnah pemimpin kerajaan bukan sahaja mencemarkan nama baik individu terbabit, malah lebih serius lagi, menimbulkan kebencian dan perpecahan dalam kalangan rakyat.
"Naratif palsu yang disebarkan telah merosakkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
"Rakyat di Perak khususnya dan Malaysia amnya perlu menilai dengan teliti sikap kepimpinan yang suka melemparkan tuduhan tanpa usul periksa, kemudian memohon maaf selepas didesak," katanya.