Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad digesa menjelaskan berhubung kenyataan bahawa hanya 1.1 peratus daripada 72,208 permohonan pelajar India diterima mengikuti latihan separa perubatan pada tahun ini.
Bercakap dengan Malaysiakini, Anggota Dewan Negara Sivarraajh Chandran berkata dia terkejut dan kecewa dengan data Kementerian Kesihatan (KKM) itu berhubung kemasukan ke institut-institut latihan KKM di seluruh negara.
Data itu, katanya lagi, menggambarkan keadaan yang tidak adil.
"Saya sangsi jawatankuasa pemilihan dan kriteria pemilihan.
“Menteri perlu jawab soalan-soalan saya," katanya.
Senator MIC itu mengesyaki ia mungkin berpunca daripada kriteria pengambilan salah atau tiada wakil India dalam lembaga pengambilan pelajar.
"Yang ini perlu diperbetulkan segera,” katanya.
Minggu lepas, KKM dalam jawapan lisan kepada soalan Sivarraajh berkata statistik Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menunjukkan terdapat 72,208 permohonan daripada calon berbangsa India untuk mengikuti Latihan Separa Perubatan.
Namun, hanya 1.1 peratus melepasi syarat kelayakan mengikut skim perkhidmatan serta Penilaian Atas Talian Memasuki Perkhidmatan Awam (PSEE) sebelum dipanggil ke sesi temu duga.
Pada masa ini, seramai 8,524 orang pelatih sedang mengikuti latihan separa perubatan di institut latihan KKM, sebanyak 71 pelatih atau satu peratus daripada jumlah tersebut adalah pelatih berketurunan India.
Terdahulu, Sivarraajh meminta KKM menyatakan jumlah pengambilan pelajar India di institut latihan KKM.
Sementara itu, Sivarraajh juga meminta meminta kerajaan memberi penjelasan berhubung ujian PSEE.
"Pelik untuk mendapat tahu hanya 1.1 peratus pelajar India lulus ujian PSEE.
"Soalan apa yang kamu tanya sehingga 99 peratus pelajar India yang menduduki ujian itu gagal," katanya.