Paling Popular
Terkini

Kementerian Kesihatan (KKM) telah memulakan siasatan berhubung dakwaan keracunan kromium di Kampung Kelaik, perkampungan Orang Asli di Kelantan.

Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad, mengesahkan perkara itu dalam satu sidang media hari ini dan menyatakan kementerian itu akan memberikan maklumat lanjut mengenai isu tersebut secepat mungkin.

“Kami masih menyiasat. Kami akan berikan kemas kini secepat mungkin dan mengeluarkan kenyataan,” katanya kepada wartawan di Parlimen.

Dzulkefly mengadakan sidang media tersebut untuk membincangkan isu lain apabila dia diminta mengulas mengenai kes di Kampung Kelaik.

Terdahulu, Malaysiakini mendapat tahu Kementerian Kesihatan merancang untuk melawat kampung tersebut di Gua Musang.

Lawatan ini susulan laporan khas oleh NewsLab Malaysiakini mengenai operasi perlombongan di Bukit Tambun, Gua Musang, yang dipercayai menyebabkan pencemaran logam berat di sungai berkenaan dan menimbulkan risiko kesihatan kepada komuniti Orang Asli Temiar di hilir sungai.

Penduduk Kampung Kelaik mendakwa sungai di kawasan itu berubah menjadi merah karat sejak perlombongan dimulakan lebih sedekad lalu. Ujian darah yang dilakukan Malaysiakini baru-baru ini mendapati tahap kromium yang tinggi dalam salah seorang daripada enam penduduk yang menjadi sukarelawan untuk ujian tersebut.

Seorang pakar kesihatan kimia yang mengkaji hasil ujian darah dan sampel air berkata, terdapat kemungkinan besar pencemaran itu berpunca daripada aktiviti perlombongan berdasarkan tahap kromium yang tinggi di salah satu titik pelepasan sisa lombong berkenaan.

Ketika ditanya mengenai sumber pencemaran lain, penilai kesihatan kimia, Vivien How, berkata racun perosak yang digunakan dalam ladang berskala besar di sekitar kampung itu berkemungkinan “meresap ke dalam tanah, mencemarkan air, dan meningkatkan bebanan terhadap alam sekitar.”

Menurut pemimpin Jawatankuasa Bertindak Kampung Kelaik, Ahak Uda, Jabatan Kesihatan Gua Musang telah menghubungi komuniti tersebut untuk melakukan lawatan ke kampung itu pada Selasa depan bagi mengumpulkan sampel darah dan menjalankan pemeriksaan kesihatan untuk kanak-kanak.

Malaysiakini juga sedang menghubungi jabatan tersebut untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai lawatan itu.

Lombong dakwa patuhi peraturan

Malaysiakini turut menghubungi dua pengendali lombong, iaitu Redstar Capital Sdn Bhd dan Aqua Orion Sdn Bhd.

Redstar Capital menafikan melakukan sebarang kesalahan.

Pengurus pentadbirannya, Julice Chu Lai Siong, berkata syarikat itu tidak membuang sisa ke dalam sungai kerana menggunakan konsep “litar tertutup” dan “sifar pelepasan” dalam operasinya.

Dia menjelaskan efluen atau sisa buangan dikitar semula ke dalam pemprosesan lombong, memastikan tiada air sisa dilepaskan ke sungai.

Namun, ketika Malaysiakini melawat tapak perlombongan, terdapat dua titik pelepasan air dari kolam perlombongan ke anak sungai.

Chu juga berkata Redstar Capital memastikan efluen mematuhi had yang ditetapkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) iaitu 0.20mg/L untuk kromium-6 dan 0.05mg/L untuk kromium-3.

Dia menambah, syarikat itu menghantar sampel air dari sungai berhampiran lombong kepada JMG dan Jabatan Alam Sekitar (DOE) setiap bulan.

Sepanjang beroperasi, Redstar Capital tidak pernah menerima aduan daripada komuniti itu mengenai aktiviti mereka, tambahnya.

Pengendali lombong lain, DOE, JMG, dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) masih belum memberikan maklum balas kepada Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS