Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
77 lawan 55: RUU Keselamatan Dalam Talian lulus 
Diterbitkan:  Dec 11, 2024 6:39 PM
Dikemaskini: 12:40 PM

PARLIMEN | Hasrat pembangkang untuk menggagalkan Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian 2024 tidak tercapai apabila undian di parlimen tidak memihak kepada mereka.  

Menurut rekod undian, seramai 77 anggota parlimen menyokong RUU itu, lima puluh lima menentang dan 90 lagi tidak hadir.  

Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) sebelum itu meminta undian secara belah bahagi selepas menteri undang-undang Azalina Othman Said menggulung RUU itu.

Ahmad Fadhli membuat permintaan itu selepas permohonan berasingan untuk merujuk RUU itu ke jawatankuasa parlimen bawah Peraturan Mesyuarat 54(2) ditolak oleh timbalan speaker Dewan Rakyat, Alice Lau.  

Permintaan itu menyebabkan sidang ditangguhkan selama 10 minit untuk memberi masa kepada anggota parlimen dari kedua-dua blok masuk ke dewan untuk mengundi.  

Penentangan terhadap Rang Undang-Undang tersebut bukan sahaja datang daripada PN.

Bulan lalu, Kumpulan Advokasi Keselamatan Dalam Talian (Osag) menyatakan kebimbangan mengenai RUU itu, dengan mengingatkan undang-undang mesti mengimbangi keperluan untuk melindungi hak kebebasan bersuara.

Dalam memorandum kepada Bahagian Hal-Ehwal Undang-undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri baru-baru ini, Osag menggariskan kebimbangannya tentang pendekatan kerajaan untuk mengawal selia keselamatan dalam talian.

Kumpulan itu menekankan keperluan mengambil kira suara semua pihak berkepentingan terutamanya mereka yang mewakili kanak-kanak, wanita dan orang kurang upaya.

Sebelum ini, kerajaan menyatakan bahawa RUU Keselamatan Dalam Talian dan pindaan Kanun Keseksaan bertujuan membendung kegiatan jenayah di media sosial dan bukannya menyekat kebebasan bersuara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said ketika menggulung perbahasan RUU itu berkata undang-undang berkenaan ditumpukan kepada syarikat penyedia perkhidmatan dan bukan kepada pengguna itu sendiri.

"Kalau kita (wakil rakyat) di dalam dewan ini (Dewan Rakyat) sibuk mahu melindungi hak syarikat, saya minta maaf kerana bagi kerajaan Madani, kita melihat syarikat memiliki wakil mencukupi.

"Dia (syarikat) ada duit (bernilai) jutaan ringgit, boleh cari peguam, pergi tribunal dan pelbagai lagi. Namun, rakyat setiap hari... yang kita bercakap (ialah) mengenai kanak-kanak.

"RUU ini berbeza dengan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998. Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) pula dilihat sebagai 'abang' dan RUU ini ialah 'adik', memfokuskan kepada syarikat yang memberikan perkhidmatan,"katanya.

Kes Abang Bas

Mengambil contoh kes “Abang Bas,” Azalina menjelaskan undang-undang sedia ada kekurangan kuasa untuk segera menghapuskan kandungan yang berkaitan dengan eksploitasi kanak-kanak.

"Dari satu akaun TikTok berkenaan, beliau (Abang Bas) mempunyai 640,000 pengikut dan dalam keadaan itu, muka kanak-kanak yang keluar (disiarkan dalam kandungan Abang Bas), siapa nak turunkan?

"Kita boleh laporkan kepada MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia), polis boleh bertindak, tetapi sistem ini lambat dan tak boleh buat (menurunkan kandungan berkaitan eksploitasi kanak-kanak secara serta-merta).

"Mereka (syarikat) yang menjual sistem ini ada sistem yang dapat menilai, mematahkan, menurunkan (dan) memperbetulkan. Mereka yang ada dan sebab ini kita sebut mengenai 'content moderation dan curation' (kurasi dan kesederhanaan kandungan),’” katanya.

Kes “Abang Bas” merujuk kepada kes membabitkan pemandu bas sekolah Ahmad Zaharil Muhaiyar, yang memuat naik video di TikTok memaparkan dirinya memandu bas dan sering menunjukkan kemesraan dengan kanak-kanak terbabit.

Dia merujuk murid perempuan sekolah rendah sebagai “darling” dan “crush”, yang mengundang kritikan kerana dianggap tidak sesuai.

Ahmad Zaharil kini sedang menghadapi perbicaraan atas tuduhan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS