Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RUU Keselamatan Dalam Talian: MP PAS bimbang M'sia jadi Korea Utara, China

PARLIMEN | Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) membangkitkan kebimbangan mengenai Rang Undang-undang Keselamatan Dalam Talian (OSB) 2024 dalam perbahasannya semasa bacaan kali kedua RUU itu hari ini.

Dia mendakwa Rang Undang-Undang (RUU) itu, jika diluluskan menjadi akta, boleh menyaksikan Malaysia menjadi negara “autokrasi digital” seperti Korea Utara.

"Saya berdiri di sini bukan sekadar untuk membahaskan perundangan ini tetapi untuk membunyikan loceng amaran kepada semua rakyat Malaysia.

“RUU ini sekiranya diluluskan tanpa pindaan besar berpotensi mengheret negara kita ke arah autokrasi digital seperti mana disaksikan di negara-negara seperti Korea Utara dan China,” katanya.

Dia mengesyorkan rang undang-undang itu ditarik balik dan dirujuk kepada jawatankuasa pilihan khas parlimen untuk disemak semula.

Selain itu Ahmad Fadhli turut mencadangkan agar kerajaan mengadakan sesi perundingan awam dengan pakar industri dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO).

Sementara itu, Ahli Parlimen pembangkang lain - termasuk Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan), Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) dan Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) turut menyuarakan kebimbangan sama.

Bulan lalu, Kumpulan Advokasi Keselamatan Dalam Talian (Osag) menyatakan kebimbangan mengenai RUU itu, dengan mengingatkan undang-undang mesti mengimbangi keperluan untuk melindungi hak kebebasan bersuara.

Dalam memorandum kepada Bahagian Hal-Ehwal Undang-undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri baru-baru ini, Osag menggariskan kebimbangannya tentang pendekatan kerajaan untuk mengawal selia keselamatan dalam talian.

Kumpulan itu menekankan keperluan mengambil kira suara semua pihak berkepentingan terutamanya mereka yang mewakili kanak-kanak, wanita dan orang kurang upaya.

Sebelum ini, kerajaan menyatakan bahawa RUU Keselamatan Dalam Talian dan pindaan Kanun Keseksaan bertujuan membendung kegiatan jenayah di media sosial dan bukannya menyekat kebebasan bersuara.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menjelaskan pihaknya juga akan memastikan pengendali platform media sosial lebih proaktif dalam membendung kegiatan jenayah di platform masing-masing bagi mengelak daripada berdepan tindakan.

Bagaimanapun, Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) berkata, tanpa akta itu pun, kerajaan sebelum ini menyekat portal berita yang melaporkan isu-isu sensitif dan kritikan terhadap mereka.

"Tanpa akta sekali ini pun, kerajaan menerusi SKMM telah menyekat pelbagai portal berita di laman web kononnya kerana isu-isu sensitif, walhal kerajaan tak tahan dengan kritikan rakyat," katanya.

Tahun lalu, kerajaan telah menyekat akses ke laman web UtusanTV.com kepada sesetengah pengguna internet di Malaysia.

Percubaan untuk mengakses laman web itu tertera notis yang menyatakan bahawa "laman sesawang ini tidak dapat diakses di Malaysia kerana melanggar undang-undang negara".

Pada Jun tahun yang sama, MalaysiaNow pula dilaporkan disekat dengan sesetengah pengguna Celcom dan Maxis mendakwa tidak dapat mengakses portal berita berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS